Pertama-tama dan selamanya dipanjatkan rasa syukur kepada Allah, Tuhan sekalian alam. Dialah yang mengutus rasul-rasulnya menunjuki umat manusia ke jalan yang benar.
Syukur kepada Allah, program Perkampungan Generasi Khalifah (PGK) 2008 yang berlangsung pada 10 dan 11 Disember 2008 yang lalu telah berjaya diadakan. Program ini merupakan program bermalam dan bertempat di Tadika Astana, Piasau Jaya di Miri. Seramai 6 orang peserta telah menghadiri program ini yang kesemuanya terdiri daripada pelajar lepasan SPM. Ini disebabkan program ini berlangsung pada waktu cuti dan sasaran peserta mempunyai komitmen masing-masing. Namun demikian, masa dan ruang dimanfaatkan sepenuhnya tidak sampai dua hari.
Program ini membawakan mesej yang ringkas, tetapi penuh makna. "Siapa aku?", "Siapakah aku sebagai hamba tuhan?" dan "Apakah peranan yang harus aku lakukan?" itulah pokok kepada program PGK ini. Para peserta diterapkan akan kesedaran peranan mereka dalam hubungan vertikal, iaitu hubungan mentauhidkan Allah, membebaskan diri daripada cengkaman perhambaan sesama makhluk. Dan juga, para peserta diajak berfikir, agar memahami diri ini dalam hubungan horizontal pula. Iaitu hubungan diri kita dengan makhluk. Secara khususnya, mentadbir, mengurus dan memastikan segala perbuatan kita menjurus kepada mentauhidkan Allah yang Esa, menggunakan segala sumber yang ada di sekeliling kita menuju kepada redha-Nya.
Melengkapi program ini adalah dalam satu-satunya slot pada sebelah malam, iaitu Berjasa Kepada Masyarakat. Dalam slot ini, para pendengar didedahkan secara mendalam, bagaimanakah kita menggunakan segala sumber alam sekeliling kita untuk mentauhidkan Allah. Masing-masing diri ini mempunyai peranan untuk dimainkan, sebagai khalifah yang berjasa kepada masyarakat. Bagaimanakah kita merancang dengan teliti dengan kaedah Tulang Ikan dan bagaimana pula kita memadukan impian, minat dan kaedah yang sesuai dengan Segitiga Nameck untuk mencapai redha Allah. Kesemuanya dikongsi dalam slot ini.
Slot terakhir PGK ialah perbincangan dan pembentangan SWOT-POA. Melalui slot ini, para peserta dipecahkan mengikut kategori sekolah masing-masing. Mereka ditugaskan untuk menganalisis isu pelajar Islam dan penyelesaian di sekolah. Segala program yang direncana diamanahkan untuk direalisasikan secara praktikal pada masa hadapan, dalam menyahut seruan Berjasa Kepada Masyarakat.
Terima kasih tidak terhingga kepada Auntie Jun kerana membenarkan Tadika Astana sebagai lokasi program. Terima kasih kepada individu yang telah membantu menjayakan program ini; Abdullah Umar, Khairi, Abdul Rahman, Abdul Mukmin, Iszuandy, Khairul Anwar dan Azwani. Terima kasih, terutama adik-adik kerana sudi menghadiri program ini: Ansari, Azizul, Ridwan, Nadzri, Hurun, Ameerah dan Ina. Andalah mutiara tersembunyi yang perlu digilap, menyinari kegelapan masyarakat!
Segala yang baik adalah daripada Allah. Segala yang kurang baik adalah juga daripada Allah, tetapi disandarkan kepada diri yang lemah.Astaghfirullahal lazi laa ilaa ha illa hu (Saya memohon ampun kepada Allah, tiada Tuhan melainkan-Nya).
Berjasa Kepada Masyarakat
Azrul bin Jaini
Naib Yang Di-Pertua II
Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak, sesi 2008/09
0 comments:
Post a Comment