728x90 AdSpace

  • Latest News

    Sunday, December 06, 2009

    Akibat Meludah ke Langit



    Pada suatu hari, seorang pendeta sedang mencari-cari sebuah rumah. Ia bertanya kepada seseorang yang berjalan kaki, “Bolehkah tuan tunjukkan saya bagaimanakah jalan ke rumah Habib Salim bin Ahmad bin Jindan?”

    “Oh... siapa yang tidak kenal beliau! Hendak ke rumahnya...” kemudian ia memberitahu jalan ke rumah yang dihajati.

    Apabila pendeta itu tiba, ia telah berjumpa dengan orang yang dicarinya. Ia bertanya, “Tuan Habib, saya ingin bertanya.”

    “Silakan.” Jawab Habib Salim.

    “Habib, siapakah yang lebih mulia, adakah orang yang masih hidup ataupun yang telah mati?”

    Habib Salim menjawab, “Semua orang akan menjawab, bahawa yang hidup lebih mulia daripada orang yang mati, kerana orang yang sudah mati sudah menjadi bangkai (reput dimakan tanah).”

    Kemudian pendeta itu melontarkan kembali persoalannya, “Kalau begitu, sudah tentu Isa ibn Maryam (Nabi Isa) adalah lebih mulia daripada (Nabi) Muhammad bin Abdullah (sallallahu alaihi wasallam), manakala Isa (menurut keyakinan Habib dan umat Islam) belum wafat dan masih hidup.”

    Kepada orang kebanyakan, mungkin set soalan pendeta ini memerangkap orang ini. Mungkin dalam fikirannya, ia telah berjaya memberi pukulan maut kepada tokoh agamawan ini, ataupun mengunci mati daripada berhujah.

    Namun secara spontan Habib Salim menjawab, “Kalau begitu....” Pendeta itu menyangka kemenangan miliknya!



    Mata pendeta membulat menunggu jawapan, Habib Salim menyambung, “... bererti ibu saya lebih mulia daripada Maryam (ibu Nabi Isa alahissalam) kerana Maryam sudah meninggal, sedangkan ibu saya masih hidup.”

    Pendeta terkesima. Ia terbungkam seribu bahasa. Malang sekali, terlajak perahu boleh balik; terlajak cakap buruk padahnya. Ia meludah ke langit, terpalit pula dek kembali ditarik pecutan graviti.

    Habib Salim bertanya dengan tenang, “Tuan mahu berjumpa ibu saya? Dia ada di belakang.”

    “Terima kasih sahajalah.” Lalu pendeta itu berpaling dan bingkas pulang.


    Al-Masih putera Maryam (Nabi Isa alaihis salam) itu hanyalah seorang Rasul yang sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa Rasul, dan ibunya seorang yang sangat benar, kedua-duanya biasa memakan makanan. Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan kepada mereka (ahli Kitab) tanda-tanda Kekuasaan (Kami), kemudian perhatikanlah bagaimana mereka berpaling (daripada memperhatikan ayat-ayat Kami itu). (Surah al-Maidah, 5:75)


    Berjasa Kepada Masyarakat


    NOTA: Habib Salim bin Ahmad bin Jindan rahimahullah merupakan ulamak berasal dari Surabaya, Indonesia dilahirkan pada 18 Rejab 1324 / 7 September 1906. Beliau merupakan seorang ulamak yang menguasai banyak bidang ilmu terutama ilmu hadith, sejarah dan nasab (salasilah keturunan). Beliau digelar sebagai muhaddith dan musnid kerana keilmuannya dalam hadith. Dikatakan beliau telah menghafal sebanyak 70, 000 hadith beserta sanad. Beliau telah terlibat menyerukan jihad dalam perjuangan rakyat Indonesia menghadapi penjajahan Belanda dan Jepun, sehingga beliau banyak kali keluar masuk penjara. Ulamak ini telah wafat di Jakarta pada 16 Rabiul Awal 1389 Hijrah / 1 Jun 1969. Ratusan ribu umat Islam telah datang dari segenap pelusuk rantau berbondong-bondong ke rumahnya untuk menyampaikan ucapan takziah. Dakwah beliau diteruskan oleh Habib Salahuddin dan Habib Naufal serta keturunannya.

    NOTA: Gambar pertama ialah di Sungai Baram, Marudi dan kemudian pantai Bungai, Miri

    Rujukan:Al-Habib Salim ibn Ahmad ibn Jindan, (2008). Fitnah Syiah. Lujnah Penyelidikan Yayasan Sofa Negeri Sembilan. Sofa Production: Ampang.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Item Reviewed: Akibat Meludah ke Langit Rating: 5 Reviewed By: Azrul bin Jaini
    Scroll to Top