728x90 AdSpace

  • Latest News

    Tuesday, November 16, 2010

    Kem Remaja Islam Wawasan (KREW) 2010


    Syukur kepada Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Semoga Allah mencucuri rahmat atas orang-orang yang mengikuti jalan baginda sehinggalah Hari Kiamat.

    Syukur tidak terhingga, Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) telah menganjurkan program Kem Remaja Islam Wawasan (KREW ‘10) pada 8 hingga 11 November 2010 bertempat di Pusat Latihan Sarawak JAKIM, Telaga Air, Kuching. Seramai 62 orang pelajar Tingkatan 3 (15 tahun) daripada 10 buah sekolah telah menyertai program ini. Sekolah-sekolah tersebut ialah SMK St. Joseph, SMK St. Theresa, SMA Tun Ahmad Zaidi, SMA Syeikh Hj. Othman Abdul Wahab, SMK Semerah Padi, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuching, SMK Petra Jaya, SMK Demak Baru, SMK Tunku Abdul Rahman dan SM Sains Kuching.

    KREW 2010 memberikan peluang untuk para peserta meluaskan hubungan persaudaraan merentas normal kebiasaan sebagaimana dalam alam persekolahan. Dalam program ini, para peserta diberikan kesempatan untuk berkenal-kenalan dengan rakan-rakan daripada sekolah, latar belakang dan pendidikan yang pelbagai.

    Para peserta telah didedahkan dengan pelbagai input merangkum rohani, akal dan jasmani dengan elemen jatidiri, kepimpinan, kreativiti, ikatan ukhuwah dan kepedulian sosial terhadap masalah yang melanda umat Islam masakini, terutama di kalangan remaja. Mesej telah disampaikan oleh barisan fasiltator PERKEPIS melalui Latihan Dalam Kumpulan (LDK), riadah dan sebagainya.

    Selain itu, para peserta juga diisi oleh tetamu jemputan yang terdiri daripada mantan-mantan pimpinan PERKEPIS dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak. PERKEPIS ingin merakamkan sekalung penghargaan kepada mereka semua.

    Sesungguhnya secara fitrah kita manusia sentiasa ingin menjadi seorang yang berguna kepada orang lain, dihormati dan diakui kewujudan. Melalui KREW ’10 inilah, para peserta dipupuk untuk menerima keberadaan rakan-rakan yang lain, serta yakin dan percaya, semua manusia berhak untuk berubah menuju kepada kebaikan, tanpa mengira latarbelakang hidupnya.


    Melalui KREW’10 juga, para peserta telah dididik untuk sentiasa mengoreksi serta membangunkan diri sendiri dan rakan-rakan. Dengan cara yang membantu diri sendiri, kita juga berupaya untuk membantu orang lain menjadi insan yang lebih baik.

    Pada hari terakhir, PERKEPIS telah memperkenalkan satu badan khas yang bertindak sebagai badan pelaksana agenda berjasa kepada masyarakat di peringkat sekolah, iaitu Akademi Bestari Muda (ABM). ABM ditubuhkan seiring dengan penubuhan PERKEPIS, iaitu pada tahun 1998. ABM dianggotai oleh para pelajar sekolah (Ting. 1 sehingga Ting. 5)yang menjalankan aktiviti-aktiviti kesedaran pelajar yang mengasah bakat, kreativiti, keterampilan, kualiti dan kepimpinan para pelajar. Melalui ABM, para pelajar sekolah dapat berinteraksi dengan para pelajar daripada sekolah lain yang tentunya mempunyai pelbagai kelebihan untuk dikongsi.

    Dalam pengenalan tersebut, ABM mempunyai empat akademi bawahnya, iaitu:

    i.Akademi al-Quran dan Sunnah (AQSA)
    AQSA merupakan akademi yang menjalankan aktiviti yang berkaitan dengan pembudayaan serta pengkajian al-Quran dan Sunnah.

    ii.Akademi Riadah dan Komuniti (ARDHI)
    ARDHI merupakan akademi yang bertindak merangka dan memimpin kerja-kerja kemasyarakatan dan aktiviti riadah/lasak.

    iii.Akademi Seni dan Warisan (ASWAR)
    ASWAR merupakan akademi mencungkil bakat melalui kesenian dan warisan Islam.

    iv.Akademi Intelek Muda (ATMA)
    ATMA merupakan akademi yang meneroka pemikiran-pemikiran dan memupuk budaya mencintai ilmu.


    Diharapkan melalui KREW’10, para peserta akan memahami peri pentingnya mereka terlibat dalam aktiviti gerakan pelajar sejak awal-awal lagi. Melalui aktiviti persatuan seperti inilah, para peserta diberikan pendedahan dan pengalaman lebih daripada kebiasaan pelajar lain. Ini terbukti melalui individu yang telah melaui tarbiyah, pendidikan secara tidak formal yang berterusan daripada ABM, diteruskan dengan PERKEPIS dan seterusnya ke peringkat yang lain, telah menghasilkan individu-individu yang berpengaruh positif kepada masyarakat. Oleh yang demikian, PERKEPIS menyeru kepada para pelajar agar menerima cabaran ini dengan menjadikan platform ABM sebagai medium untuk mereka berjasa kepada masyarakat.

    Akhir kata, PERKEPIS ingin mengucapkan sekalung penghargaan terutamanya kepada pihak Pusat Latihan Sarawak JAKIM, pihak sekolah yang telah memberikan kerjsama yang terbaik, para fasilitator dan ahli jawatankuasa pengelola, dan lebih-lebih lagi peserta Kem Remaja Islam Wawasan 2010 (KREW’10). Semoga amal yang kecil ini menjadi saham yang akan diterima oleh Allah dan akan berkat rahmat-Nya kita dimasukkan ke dalam syurga, insya-Allah.

    Berjasa Kepada Masyarakat
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Item Reviewed: Kem Remaja Islam Wawasan (KREW) 2010 Rating: 5 Reviewed By: Azrul bin Jaini
    Scroll to Top