728x90 AdSpace

  • Latest News

    Saturday, April 19, 2014

    Mahasiswa Dan Intelektual


    Oleh: Mohamad Safwandi Bin Suaidi

    Melihat realiti sekarang ini, golongan mahasiswa sudah mulai mengalami fasa 'kemandulan idealisme'. Apakah mahasiswa sudah kehilangan identiti? Ataupun medan gerakan mahasiswa telah terpenjara oleh sistem sehingga memunculkan sikap prakmatik dan tidak ambil peduli dalam golongan yang dianggap intelektual itu sendiri. Apakah politisasi dan komersialisasi yang melampau-lampau terhadap sistem pendidikan negara telah mengakibatkan mahasiswanya hilang esensinya sebagai juru bicara umat?

    Ironinya, mahasiswa yang berperanan sebagai pemimpin masa hadapan lebih banyak menyumbang kepada kebejatan sosial dan permasalahan sivil. Sedangkan golongan intelek inilah yang diharapkan untuk menjadi agen perubahan masyarakat sekaligus sebagai kuasa ketiga yang menjadi pengimbang kepada golongan oposisi dan pemerintah. Mereka meneraju kepada model dan lanskap politik nilai yang lebih sihat.

    Mahasiswa tidak hanya terpaku terhadap legalisasi di kampus, tetapi mahasiswa dituntut untuk peka terhadap isu semasa. Dengan kata lain, mereka harus menganalisis isu yang berkembang di dalam masyarakat dan bukan hanya mengejar gred dan pointer yang tinggi untuk meraih ijazah yang diinginkan dan bukan juga menjadi penyumbang kepada masalah sosial. Akan tetapi, mahasiswa harus mampu untuk mengembangkan bakat dan minat mereka melalui penglibatan terhadap organisasi di luar seperti pertubuhan mahasiswa, pergerakan sivil, wacana awam dan sebagainya disamping memberi kefahaman dan penerangan kepada orang awam terhadap isu yang berlegar di ruang awam.

    Mahasiswa adalah sosok yang tidak hanya mewakili sisi kepemudaan di mana mereka adalah golongan yang berani, tangkas dan punyai semangat juang, akan tetapi mahasiswa juga perlulah mempunyai intelektual yang tinggi. Mahasiswa yang mempunyai intelektual yang tinggi tentu mempunyai kebolehan sebagai pengemudi perubahan, sebagaimana episod perjuangan mahasiswa yang tercoret dalam sejarah kebangkitan mahasiswa di Tanah Melayu.

    Sorotan sejarah perjuangan mahasiswa dalam peristiwa Baling 1971, tidak hanya tertoreh oleh merahnya darah keberanian mahasiswa, tetapi juga dengan hitamnya pena para intelektual pada zaman tersebut. Dari masa ke semasa, mahasiswa akan berperanan sebagai penggerak kepada perubahan lanskap politik dan ketamadunan bangsa. Jika kita imbas kembali peranan mahasiswa dalam insiden Demonstrasi Baling di Kedah pada tahun 1971, atas semangat juang, barisan pemuda yang intelek berganding dengan semangat aktivisme mahasiswa mampu mengembalikan masyarakat dari noktah jiwa terpenjara dan minda yang tertawan. Mahasiswa pada era berkenaan merupakan mahasiswa yang berintelek, kritikal dan punyai aktivisme serta idealisme perjuangan yang cukup jelas.

    Tetapi sekarang bukanlah masanya untuk mengenang perjuangan masa lalu, bukan lagi saatnya untuk mendongeng mengenai identiti. Kini masanya untuk kita berbicara tentang realiti era ini. Mahasiswa sekarang perlu mengeluarkan diri mereka daripada minda yang terus terpenjara akibat daripada unsur-unsur fir'aunisme dalam dasar pembinaan pemikiran rakyat. Mereka perlu memperkembangkan sahsiah dan penggunaan akal kerana mereka mempunyai kemampuan yang tinggi untuk berfikir yakni menggunakan akal budi dengan baik.

    Golongan mahasiswa intelektual ini berperanan lebih daripada seorang penuntut di universiti dan institut. Mereka memberikan pencerahan keilmuan kepada masyarakat yang ingin membebaskan mindanya daripada terus ditawan. Golongan mahasiswa yang intelektual juga perlu membetulkan kesilapan yang telah menimbulkan kekeliruan rakyat yang dijadikan ladang subur untuk menyemai benih kebencian. Apa yang dituai dari kebencian tersebut adalah ketidaksukaan kepada kegiatan berfikir dan kesukaan menjadi pak turut. Semangat berani berfikir, sapare aude perlu diperkembangkan disamping membina disiplin ilmu yang tinggi.

    Peranan mahasiswa dalam menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara memang tidak dinafikan. Suara golongan mahasiswa lebih didengar berbanding golongan lain dalam kelas masyarakat sosial. Oleh itu, fokus mahasiswa bukan hanya tertumpu kepada lapangan ilmu di universiti dan institusi semata-mata, bahkan keterlibatan mereka dalam ruang awam amatlah dituntut. Hal ini adalah kerana mahasiswa adalah sangat sinonim dengan kepedulian terhadap nasib masyarakat dan perjalanan negara. Sejarah telah membuktikan peranan mahasiswa dalam perubahan masyarakat dan pola politik negara. Mereka inilah yang menjadi kompas sebagai petunjuk arah bagi gerakan dan pembangunan mahasiswa, universiti, masyarakat dan negara.

    *Mohamad Safwandi merupakan Exco Penerangan Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS)
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Item Reviewed: Mahasiswa Dan Intelektual Rating: 5 Reviewed By: Admin
    Scroll to Top