728x90 AdSpace

  • Latest News

    Tuesday, September 16, 2014

    51 Tahun Malaysia, Bermuhasabah dan Menilai Diri


    KENYATAAN MEDIA PERSATUAN KEBAJIKAN PELAJAR ISLAM SARAWAK (PERKEPIS)
    16 SEPTEMBER 2014 / 21 ZULKAEDAH 1435H
    51 TAHUN MALAYSIA, BERMUHASABAH DAN MENILAI DIRI

    Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana kita dapat meraikan ulang tahun penubuhan Malaysia bagi kali ke-51 sebagai warga sebuah negara merdeka dan berdaulat.

    Pembentukan Malaysia menjanjikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Persekutuan Malaysia berasaskan prinsip perlembagaan bagi menjamin pengagihan kuasa dan ekonomi yang saksama, adil serta membebaskan rakyat dari penjajahan minda dan jiwa demi mengangkat harga diri rakyat Malaysia.

    Tetapi kebelakangan ini, ramai di antara kita menumpukan perhatian bukan kepada kepelbagaian masyarakat, tetapi kepada perbezaan di dalam masyarakat. Baik dari segi fahaman politik, bangsa, agama, mahupun taraf hidup, perbezaan ini dibiarkan melarat ke perbalahan yang tidak terbatas. Sentimen perkauman yang jumud serta konflik agama yang direkayasa tidak membawa faedah untuk rakyat. Malah ianya menghina gagasan Malaysia yang mendukung citra masyarakat yang rencam.

    Bagi umat beragama, kemerdekaan adalah nikmat kurnia Tuhan yang wajib disyukuri dengan cara yang diredhai dan disenangi PenciptaNya. Mensyukuri nikmat sebagaimana yang diajar oleh agama ialah menggunakannva dengan cara yang benar, dan tidak menyalahgunakannya. Dalam konteks nikmat kemerdekaan ia harus disyukuri dengan membina kehidupan yang menepati erti kemerdekaan semurni dan setulennya.

    PERKEPIS melahirkan harapan agar janganlah kita cuma bersatu bila ada keraian atau menyambut kemenangan. Janganlah kita hanya bersatu apabila berlakunya tragedi atau bencana. Semangat perpaduan mesti sentiasa kekal tersemat dihati dan bukannya bermusim. Bersempena Hari Malaysia tahun ini, marilah kita, rakyat Malaysia yang mempunyai maruah dan jiwa merdeka, bersama-sama memperkukuh azam dan memperbaharui tekad untuk Malaysia yang lebih baik.

    PERKEPIS juga mengambil maklum dengan sebuah gerakan yang dinamakan “Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM)”. Ingin ditegaskan bahawa gerakan ini tidak mewakili seluruh rakyat di Sabah dan Sarawak. Gerakan yang mahu menuntut hak autonomi negeri ini sebenarnya ingin melihat perpecahan rakyat Malaysia. Sesungguhnya mereka ini hanya bersifat sementara dan mempunyai agenda peribadi semata-mata.

    PERKEPIS dengan ini mendoakan mudah-mudahan roh para pejuang yang terdahulu, bahagia dalam pengabdian apabila pengorbanan dan perjuangan mereka menghasilkan umat merdeka. Dengan semangat syukur nikmat sempena hari Malaysia ini, kita bermuhasabah, menilai diri, sudah sejauh mana kehidupan kita sebagai bangsa telah menepati makna merdeka.

    Demi Malaysia, bertawakallah semua dan kepada Tuhan kita berserah

    “BERJASA KEPADA MASYARAKAT”

    MUHAMMAD AFIQ ASYRAF BIN SOEPIRMAN
    Yang Di-Pertua,
    Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS)
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Item Reviewed: 51 Tahun Malaysia, Bermuhasabah dan Menilai Diri Rating: 5 Reviewed By: Admin
    Scroll to Top