728x90 AdSpace

  • Latest News

    Tuesday, October 21, 2008

    MEMAKNAKAN KEMERDEKAAN : SUDAH SELESAIKAH TUGAS KITA?

    MEMAKNAKAN KEMERDEKAAN : SUDAH SELESAIKAH TUGAS KITA?
    Tuesday, September 02, 2008

    Tahun 2008 merupakan tahun kedua aku menyambut malam kemerdekaan di Bumi Kenyalang. Sejak enam tahun yang lalu, melalui detik 31 Ogos hanyalah di kolej mahupun di sekretariat PKPIM. Tidak pula aku meninjau suasana sambutan malam kemerdekaan kerana padaku ketika itu hanyalah sia-sia belaka.

    Dua hari sebelum itu, aku menerima mesej pesanan ringkas daripada Baya, mengajak untuk membuat kajian tinjauan sempena sambutan malam kemerdekaan di sekitar bandar Kuching. Satu idea yang baik dan mungkin aku beroleh sesuatu pada malam itu nanti!

    Sekitar jam 9.15 malam, aku tiba di sekretariat PERKEPIS. Kedatangan aku agak lewat kerana selepas asar mahu meneman ibu ke pusara ayah. Mujurlah mereka baru sahaja memulakan perbincangan dan ’mind setting’ untuk kajian tinjaun malam merdeka. Aku sempat memberikan sedikit pandangan dan pendapat untuk kajian tinjauan malam itu agar mind setting mereka terarah. Menjadi kerisauan pada aku dan beberapa sahabat yang lain adalah mengenai tindakan kita selepas sahaja kajian tinjuan ini dijalankan. Pastinya aku tidak mahu ianya hanya tinggal kajian. Namun ianya sedikit pun tidak dapat membuka mata kita untuk bertindak! Walaubagaimanapun, aku optimis dengan mereka. Jika diberi peluang, pasti ada hasilnya. Cuma perlu dibimbing dan dipantau.

    Dalam melaksanakan kajian tinjauan ini, apakah objektif yang ingin kita capai? Apakah yang ingin kita perhatikan dan apakah objek kajian kita? Persoalan-persoalan ini perlu dijawab kerana ia membantu dalam ’mind setting’ aktivis yang bakal turun ke lapangan.

    Sebetulnya, ia hanya bersifat kajian tinjaun. Tidak pula melibatkan angkubah bersandar dan tidak bersandar. Mungkin pada tahun depan, bentuk kajian ini perlu menumpukan kepada angkubah yang relevan. Kajian tinjauan hanya bersifat deskriptif. Tidak perlu membuat sebarang perkaitan, sebab dan akibat. Objektif kajian tinjauan ini hanyalah sekadar membuat pemerhatian tentang suasana serta keadaan semasa menjelangnya tarikh 31 Ogos di tempat-tempat yang mana dirasakan menjadi tumpuan orang ramai pada ketika itu. Water Front, Panggung Udara, Bangunan MASJA, Padang Merdeka, Water Front Kampung Gersik misalnya adalah tempat-tempat yang menjadi tumpuan sambutan ambang merdeka.

    Apa yang ingin kita perhatikan? Dan siapa pula objek kajian kita? Dua persoalan ini saling berkaitan di antara satu sama lain. Apa yang ingin kita perhatikan adalah bagaimana caranya sambutan kemerdekaan itu disambut oleh remaja yang menjadi objek kajian, bagaimanakah cara mereka berpakaian serta tingkah laku mereka. Tidaklah sukar bagi kita membuat tinjaun bukan?

    Aku sempat berseloroh dengan adik-adik sisters. Pakaian kita malam ini agak brutal sikit dan tidaklah pula berpakaian seperti pengkaji! Tidak perlu untuk membawa pen dan ’note pad’ untuk dicatat apa yang diperhatikan. Ingat dalam minda. Tidak perlu berlagak seperti pengkaji atau pegawai pencegah maksiat. Jadi orang biasa. Namun punyai misi sendiri. Jadi ’neutral’ dan ’be yourself’. Mungkin ada yang kurang setuju dengan pendapat sebegini. Bagiku, setiap pemerhatian yang dilakukan, sikap ’bias’ adalah sikap yang perlu dijauhi supaya hasil kajian tidak bersandarkan emosi dan pengalaman yang lalu.

    Ingin aku sisipkan sekali pandangan orang lama seperti auntie am (anyway thanks mak and auntie am. They join me too!) Mungkin pandangan yang diutarakan ini bagi aku terlepas pandang untuk dimasukkan dalam kajian tinjauan ini. Ia berkaitan dengan pilihan tempat kajian. Seharusnya pemilihan tempat kajian adalah bersandarkan kepada program sambutan rasmi malam kemerdekaan dan program tidak rasmi. Maksudnya begini. Kita dapat membezakan suasana,keadaan,kondisi antara dua tempat tersebut. Barangkali hasil pemerhatian juga berbeza bukan? Sebagai contoh, tempat kajian aku kali ini adalah di Water Front. Kebetulan ada pada ketika itu hanyalah pameran SME (Small & Medium Enterprise). Segenap peniaga-peniaga kecil dan sederhana besar mempamerkan barang jualan mereka. Nampaknya perniagaan gelang tangan kristal sudah mula ramai peniaga kecil yang mengusahakannya. Walaupun lebih ramai yang melihat daripada membeli, itu lumrah sebagai peniaga. Pasang surut, untung rugi adalah cabaran yang perlu dihadapi kalau ingin terus berjaya dalam bidang yang memberikan 9/10 keuntungan. Pada aku, usaha seperti ini merupakan usaha yang positif dalam mengisi malam kemerdekaan. Inilah peluang kepada peniaga-peniga kecil mempromosikan barangan mereka kepada orang awam. Walaupun untung tidaklah seperti yang dijangka barangkali, namun yang penting membina ‘hubungan’ dengan pembeli dan pelancong.

    Sambutan rasmi Ambang Merdeka di Bandar Kuching adalah di Panggung Udara, berdekatan dengan Mizium Negeri Sarawak. Aku tidak berapa pasti aktiviti pada malam tersebut. Bro afiq dan beberapa rakan lain telah ditugaskan untuk membuat kajian tinjaun di sana.


    Pada malam di ambang kemerdekaan, pelbagai aktiviti dan program dilaksanakan serentak seluruh negara. Menanti tepat jam 12.00 tengah malam, percikan bunga api pelbagai warna dan corak menjadi acara kemuncak sambutan malam kemerdekaan. Dentuman bunga api merancakkan lagi nada suara melafazkan ’merdeka’, diiringi suara-suara meneriak menyambut suara pertama merdeka. Mengenggam tangan menjadi penumbuk, diarahkan ke atas langit, mengibar bendera jalur gemilang, berlari-lari anak di jalanan sambil membawa bendera ’negeriku tanah tumpahku’ adalah di antara aksi yang dapat ditonton pada segenap mata memandang. Bangganya menjadi anak Malaysia! Bangganya menjadi anak Sarawak!

    Sesekali mata memandang gelagat sekumpulan remaja lelaki, di tengah jalan, dilututnya diikat bendera negeri. Lagaknya seperti kaki pukul, padahal badannya hanya seperti sebatang lidi. Di manakah agaknya makna merdeka bagi mereka? Di manakah letaknya kehormatan dan maruah bendera negeri? Adakah letaknya di lutut kaki?

    Haruman arak kelas ketiga tidak pernah hilang dihidung. Pelik tapi benar. Arak diletakkan dalam botol mineral 1.5 liter. Entah berapa banyak mulut mencium mulut botol. Ditambah lagi dengan hiasan asap rokok, berkepol-kepol keluar tidak pernah padam sumbunya walaupun hujan mulai turun. Begitulah pengisian di ambang merdeka. Tahun ini dan tahun sebelumnya barang kali sama atau pada malam hujung minggu pun lakonan yang sama diulang!

    Selesai sahaja dentuman dan percikan bunga api, orang ramai mula beredar dari tempat sambutan malam kemerdekaan. Mungkin untuk pulang ke rumah masing-masing atau singgah minum di kedai makan 24 jam non stop untuk mengisi perut yang lapar akibat menunggu saat-saat bunga api memercikkan kilauannya. Berbagai-bagai gaya dan rupa rakyat Malaysia atau barangkali orang luar yang ditemui. Tua, muda, kanak-kanak, bayi, lelaki, perempuan dan dari pelbagai bangsa dan etnik. Jalan-jalan tidak pernah putus dengan ratusan kereta bermula awal malam dan barangkali sehingga awal pagi besok agaknya.

    Dalam perjalanan pulang, aku, mak dan auntie am sempat berbincang sesama kami. Apakah sambutan rasmi malam kemerdekaan hanya untuk golongan ekslusif dan VIP semata-mata? Jalan menuju ke Panggung Udara ditutup untuk kenderaan awam. Hanya kereta yang mempunyai pelekat VIP sahaja dibenarkan masuk ke sana. Nikmat melihat percikan bunga api hanya dapat disaksikan sepenuhnya oleh golongan tertentu sahaja. Rakyat biasa, cukuplah melihat ekornya sahaja.

    Beberapa malam sebelum sambutan kemerdekaan, sambutan Majlis Kesyukuran sempena Kemerdekaan telah di adakan di salah sebuah masjid terkemuka di Bandar Kuching. Jemputan dan jemaah dijangka hadir lebih kurang 2000 orang. Namun yang datang hanyalah 200 orang sahaja! Peliknya, kawasan perumahan yang berdekatan tidak pula dimaklumkan akan adanya majlis tersebut termasuk aku sendiri! Untung besarlah ‘catering’ yang menyediakan juadah pada malam itu. Bukan sahaja penuh poket berisi, perut juga dapat diisi lagi!

    Begitulah sempatku kongsikan pengalaman semasa menjalankan kajian tinjaun di ambang merdeka. Macam-macam caranya remaja sambut kemerdekaan. Masing-masing punya cara sendiri. Namun terisikah makna kemerdekaan?

    Seperti yang aku sebutkan pada awal catatan ini, setelah kita membuat pemerhatian, mengumpul maklumat dan membuat analisis, apa tindakan kita selepas ini? Apakah penyelesaian atau apakah alternatif yang boleh kita cadangkan dalam mengisi makna kemerdekaan kepada generasi muda. Aku akui, kerajaan persekutuan, kerajaan negeri malah NGO sebagai kuasa ketiga banyak menyediakan program-program untuk mengisi makna kemerdekaan bagi rakyat Malaysia. Itu belum lagi dikupas mengenai keberkesanan program tersebut.

    Aku lebih suka untuk menuding jari pada diriku dan gerakan dakwah yang aku sertai sekarang. Soalannya mudah. Apakah aktiviti dan program yang aku dan rakan-rakan dakwah telah laksanakan dalam mengisi makna kemerdekaan bagi generasi muda selain menjadi panel dan penceramah jemputan sempena sambutan kemerdekaan? Jawapan jujurku ialah tiada. Kadang-kadang aku berfikir mengapa aku dan rakan-rakan dakwah yang lain tidak aktif untuk berpatisipasi dalam kawad kemerdekaan yang di adakan setiap tahun? Bukankah ini salah satu cara untuk memperkenalkan gerakan dakwah diperingkat masyakat? Walaupun ianya bukanlah satu keutamaan dan bukanlah satu-satunya cara dan metod untuk memperkenalkan diri dengan masyarakat. Sekurang-kurangnya jaringan dakwah kita bertambah! Kita ramai kenalan dikalangan muslim dan bukan muslim.

    Satu lagi perkara yang aku rasa aku dan rakan-rakan dakwah yang lain perlu lakukan. Kalau sudah terlepas untuk sambutan kemerdekaan pada tahun ini, sambutan tahun baru masih ada. Kenapa kita tidak laksanakan “Kembara Hijrah 2009” bertemakan “Mengangkat Martabat Generasi Muda Sarawak”? Kembara di malam tahun baru dengan berjalan kaki dari Masjid Bahagian Negeri Sarawak ke Masjid Jamek Petra Jaya? Kita pastikan kita menjejakkan kaki ke Masjid Jamek tepat jam 12.00 tengah malam. Pada malam itulah, kita berikan pengisian tentang kemerdekaan yang sebenar. Isi minda dan akal mereka dengan sesuatu yang bermanfaat dan bukan hanya pandai bersorak sahaja. Inilah salah satu program yang dilaksanakan di Singapura.(Kalau tak silap akulah) Kenapa kita tak lakukan?

    Ya, memanglah dikalangan kita hanya menyambut tahun baru Hijrah 1430H. Boleh, apa salahnya. Namun, kita ikut manhaj Sarawakiy. Lihat sasaran dakwah kita. Bukan sahaja hati mereka yang dapat kita sentuh, tetapi kita juga berjaya menjadikan Masjid sebagai pusat komuniti.

    Bagaimana dengan kita. Bersediakah sahut cabaran? Sudah selesaikah tugas kita mengisi makna kemerdekaan pada generasi muda?

    “Aku tidak bermaksud kecuali mendatangkan kebaikan selama mana aku masih mampu. Dan tidak ada taufiq bagiku melainkan dengan pertolongan Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakal dan hanya kepadaNYA aku kembali”
    (Surah Hud : 88)

    Sumber: http://shamsiahauntieam.blogspot.com/2008/09/memaknakan-kemerdekaan-sudah-selesaikah.html
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Item Reviewed: MEMAKNAKAN KEMERDEKAAN : SUDAH SELESAIKAH TUGAS KITA? Rating: 5 Reviewed By: PERKEPIS
    Scroll to Top