728x90 AdSpace

  • Latest News

    Monday, October 20, 2008

    Islam Tersebar dengan Kasih Sayang

    Segala lafaz puji bagi Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan agung yang dikasihi dan dirindui, Rasulullah Muhammad s.a.w., ahli keluarganya serta sahabatnya seluruhnya. Syukur kepada Allah, dengan keizinan-Nya, maka pada hari ini kita dapat menyaksikan begitu banyak pertubuhan-pertubuhan Islam yang memainkan peranannya dalam konteks dakwah, pendidikan dan proses Islamisasi itu sendiri. Malah, ramai juga di kalangan generasi muda yang terlibat secara aktif dengan gerakan-gerakan dakwah tersebut, mengorbankan masa, tenaga dan wang mereka demi menegakkan agama. Namun, kadang-kala adalah agak menyedihkan juga apabila ada di kalangan generasi muda yang melibatkan diri dalam gerakan dakwah meminggirkan budaya ilmu lantas menggerakkan aktiviti-aktiviti dakwah mereka itu dengan cara yang kurang tepat.


    Kita perhatikan bagaimana contoh satu kes – tanpa perlu menyebut nama sesiapa atau mana-mana pihak – yang berlaku terhadap beberapa orang pelajar Islam perempuan tingkatan 4. Mereka telah menghadiri sebuah program anjuran sebuah pertubuhan Islam, di mana pada satu ketika tudung seorang perempuan yang menggunakan tudung tiga segi (tetapi cukup labuh) terbuka di tengahnya (mungkin terlupa diletakkan pin atau pin sudah tercabut). Lantas seorang kakak fasilitator telah mengetip tudung peserta perempuan itu tadi dengan ‘stapler’ dan kemudian telah memarahinya. Hal itu telah menyebabkan para peserta tersebut berasa sangat tersinggung dan sangat tidak senang dengan para fasilitator mereka. Nah, kalau begitu sikap seorang ‘fasilitator Islam’ atau ‘pendakwah’ terhadap mereka yang bertudung, entah bagaimana mereka mendekati dan merapati wanita-wanita yang tidak bertudung?


    Pastinya ramai yang berasa sedih dengan sikap mereka yang cuba ‘berdakwah’ dengan pendekatan seperti yang diceritakan di atas. Itulah antara yang berlaku apabila dakwah cuba dilakukan dengan mengikut emosi dan pandangan akal sendiri semata-mata; itulah yang berlaku apabila ‘budaya ilmu’ diketepikan dan dipinggirkan dalam menggerakkan usaha dakwah. Sikap dan pendekatan yang ‘keras’ dan ‘rigid’ dalam berdakwah hanya lebih banyak mewujudkan jurang perbezaan, rasa tidak senang dan malah mungkin rasa benci dalam diri orang yang cuba didekati. Malah, tidak mustahil juga akan mewujudkan persepsi yang negatif dan silap tentang Islam itu sendiri. Harus difahami, Islam tersebar atas kasih sayang dan hikmah, bukan melalui kekerasan dan paksaan.


    Sikap ‘keras’ dan ‘rigid’ yang digunapakai oleh para pendakwah muda khususnya pada hari ini terhasil daripada faktor lemahnya budaya ilmu serta kehilangan adab dalam berdakwah. Kedua-dua hal itu pun, sebenarnya, saling berkaitan antara satu sama lain. Justeru, seorang pendakwah yang benar-benar ikhlas dalam perjuangannya, pasti akan bersedia membuka hatinya dan akalnya untuk melakukan penilaian terhadap apa sahaja yang mereka lakukan.


    Faktor kekurangan ilmu yang menjurus kepada sikap ‘keras’ dan ‘rigid’ dapat dilihat apabila kita memerhatikan sekian banyak hujah dan dalil yang menerangkan kepada kita betapa kaedah berdakwah itu sebenarnya adalah penuh dengan hikmah, kasih sayang, serta lemah lembut. Kaedah dan pendekatan sebegitu sememangnya akan mengambil masa yang panjang dan lama, tetapi ia efektif dan kekal lama. Namun, apabila budaya ilmu tidak dijadikan paksi dalam menentukan sikap, maka apa yang berlaku adalah seorang pendakwah itu akan cenderung untuk bersikap secara ‘ikut-ikutan’ atau mengikut apa sahaja yang pada pandangan akal mereka yang terbatas itu sebagai betul dan tepat.


    Dalam soal kasih sayang, guru kami Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki telah meriwayatkan kepada kami Hadith Musalsal bi al-Awwaliyyah yang diterimanya daripada gurunya yang tersohor, al-Muhaddith Syeikh Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani, yang maksudnya: “Orang yang mengasihi akan dikasihi oleh Allah Yang Maha Penyayang, kasihilah penduduk bumi, kamu akan dikasihi oleh penduduk langit.”


    Nah, bukankah hadith tersebut menggambarkan kepada kita betapa besarnya nilai kasih sayang? Umat Islam itu bersatu dalam kasih sayang, dan sudah tentu lebih hebat lagi apabila kasih sayang itu diikat erat oleh cinta hakiki kepada Allah! Perasaan kasih sayang sudah tentu akan membawa kepada pendekatan secara berhikmah dan lemah lembut dalam usaha untuk mencorak dan membetulkan kefahaman dan akhlak yang salah. Harus diingat bahawa tugas pendakwah adalah untuk menyeru manusia kepada kebenaran, untuk menyampaikan kefahaman. Kefahaman dan kesedaran itu pula, sudah tentu, perlu disampaikan secara baik dan lemah lembut. Mana mungkin kefahaman itu dipaksakan! Ramai pendakwah yang mungkin terkeliru apabila melalui cara paksaan mereka mampu melihat perubahan. Namun, sedarlah bahawa perubahan itu hanyalah perubahan luaran dan tidak semestinya menandakan kefahaman telah tercapai. Atas sebab yang sama, kita perhatikan, bagaimana terdapat ramai para pelajar Islam perempuan yang dilatih dan dikenakan peraturan (dipaksa) untuk memakai tudung daripada Darjah 1 sehingga Tingkatan 5 – itu tempoh 11 tahun! – tetapi akhirnya apabila tamat zaman persekolah masing-masing mula tidak memakai tudung. Sebabnya kerana pemakaian tudung itu dipaksakan, bukan difahamkan.


    Perhatikan bagaimana contoh agung kita, Rasulullah Muhammad s.a.w. mempamerkan kasih sayang dan kelembutan baginda dalam melaksanakan usaha dakwah. Kita maklumi, bagaimana dalam perantauan Rasulullah s.a.w. ke Thaif, baginda tidak diterima. Malah, baginda diejek-ejek, dilontar dengan batu sehinga berdarah-darah tubuhnya. Ketika itulah malaikat segala gunung datang kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata: “Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah telah mendengar perihal kaum bangsamu dan tindak balas mereka terhadap seruan kau. Aku ini malaikat segala gunung diutuskan oleh Tuhanmu dan perintahkanlah apa sahaja aku ini, untuk apa yang engkau mahu. Kalau mahu aku boleh hempap ke atas mereka bukit Al-Akhsyabin.” Lalu dijawab oleh baginda Rasulullah s.a.w.: “Tapi apa yang aku mahu biar Tuhan melahirkan dari sulbi mereka suatu golongan yang menyembahNya tanpa mensyirikkanNya. Itu sahaja yang ku mahu.” Bayangkanlah betapa Rasulullah s.a.w. berlembut dengan orang yang terang-terang menghina dakwahnya, malah menyakiti fizikalnya! Bukankah sikap itu harus kita contohi?


    Selain daripada itu, firman Allah S.W.T. yang lebih kurang maksudnya:

    “Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu...” (Surah Ali ‘Imran, ayat 159)


    Ayat di atas, antara lain, merupakan satu penegasan daripada Allah S.W.T., sebagai pujian kepada baginda Rasulullah s.a.w., bahawa sikap baginda yang lemah-lembut, adalah kerana Allah telah memasukkan ke dalam diri baginda Rasulullah s.a.w. dengan rahmat-Nya. Rasa rahmat, belas kasihan, serta kasih sayang itu telah ditanamkan oleh Allah ke dalam diri baginda, sehingga rahmat itu telah mempengaruhi sikap baginda dalam memimpin. Sifat Allah S.W.T. Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, dalam menguruskan makhluk-Nya, sudah tentu adalah merupakan sifat yang perlu kita sebagai hamba-Nya mencontohinya.


    Dalam ayat tersebut juga dengan jelas menceritakan bahawa sikap yang ‘kasar’ dan ‘rigid’ itu hanya akan membuatkan orang semakin jauh daripada seorang pemimpin atau pendakwah itu. Apabila seseorang itu telah menjauhkan diri daripada seorang pendakwah, maka bagaimana pendakwah itu hendak menjalankan tugasnya dalam menyampaikan kefahaman yang benar tentang agama ini? Atas sebab itu Prof. Dr. HAMKA menyatakan bahawa andaikata para sasaran dakwah (madh’u) itu menjauhkan diri daripada pendakwah, maka bukanlah madh’u itu yang patut disalahkan sebaliknya pendakwah itulah yang seharusnya melakukan muhasabah terhadap dirinya sendiri.


    Begitu juga halnya bahawa dalam berdakwah ini pendakwah haruslah mengambil sikap menggunakan pendekatan ‘mendidik’, bukannya ‘mengajar’ atau ‘menghukum’. Proses mendidik itu, yang seharusnya terkandung di dalamnya elemen kasih sayang, perlulah dilaksanakan dengan baik dan berhikmah. Al-Muhaddith Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani menyatakan bahawa dalam melaksanakan konsep amar ma’ruf dan nahi munkar, perlu kepada sikap berhikmah (bijaksana) dan memberi peringatan yang baik. Jika ada yang perlu diperdebatkan pun, haruslah dilakukan dengan cara yang terbaik; sepertimana firman Allah S.W.T. yang lebih kurang maksudnya:

    “Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (Surah An-Nahl, ayat 125)


    As-Syeikh Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani menyatakan lagi bahawa cara ini lebih mudah diterima dan mendekatkan lagi kepada terhasilnya apa yang diharapkan. Adapun menyanggahi cara ini, merupakan suatu kesilapan dan kebodohan.


    Syeikh Muhammad Abduh pula menyimpulkan daripada ayat al-Qur’an yang disebut di atas bahawa untuk mendepani sasaran dakwah yang pelbagai, ada kaedah pelbagai yang harus digunakan. Bagi menghadapi golongan cerdik pandai dan cendekiawan, seorang pendakwah itu haruslah menggunakan dalil-dalil dan hujah-hujah yang kuat yang sesuai dengan kekuatan akal mereka. Bagi golongan orang kebanyakan pula, mereka harus diajar dengan didikan, bimbingan, contoh-contoh yang baik dan yang mudah difahami. Bagi golongan yang di antara dua golongan tersebut pula, kaedah bertukar-tukar pandangan bagi mendorong pemikiran harus digunakan. Umumnya, semua melibatkan proses ‘menyampaikan sesuatu kefahaman’, yang sememangnya tidak mungkin dibuat secara paksaan ataupun dengan menggunakan cara memarahi atau kata-kata yang tidak baik dan bersifat provokatif.


    Banyak lagi hujah dan contoh yang lain yang akan dapat menyampaikan kita kepada kesimpulan betapa Islam itu seharusnya tersebar melalui pendekatan hikmah dan kasih sayang. Hikmah itu pula, sudah tentu, memerlukan kepada ilmu pengetahuan yang benar tentang apa yang ingin disampaikan (isi dakwah), siapa yang akan menerimanya (sasaran dakwah dan suasana lingkungan), serta kaedahnya (kaifiat dakwah). Justeru, adalah penting bagi kita semua selaku para pendakwah untuk menilai semula adakah benar dan tepat sikap dan pendekatan yang kita gunakan selama ini. Penulisan ini tidaklah bertujuan untuk memberikan penyelesaian secara tuntas, melainkan sekadar bagi mencetuskan kesedaran dan mengajak untuk kita semua sama-sama bermuhasabah. Mudah-mudahan Allah S.W.T. mengurniakan hidayah dan taufiq-Nya kepada kita semua dalam menjalani kehidupan ini, dan semoga kita diberikan keampunan di atas segala kesalahan kita. Sesungguhnya, tiada daya menghindari maksiat dan kekuatan melakukan ketaatan melainkan dengan izin Allah Yang Maha Tinggi Lagi Maha Agung.


    Allah jua Yang Maha Mengetahui.


    Nota kaki:

    Segala puji bagi Allah kerana dengan izin dan taufiq-Nya penulisan ini disiapkan. Mohon maaf di atas kesilapan, kekurangan dan kelemahan dalam penulisan ini yang mungkin agak berterabur. Mohon teguran membina.


    Rujukan:

    1. Tafsir Al-Azhar (Prof. Dr. HAMKA)

    2. Akhlaq Para Pendakwah (Abdullah Nasih Ulwan)

    3. Fiqhud-Da’wah (M. Natsir)

    4. Fiqh Al-Sirah (Muhammad Said Ramadhan Al-Buti)

    5. Kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan (Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani, terjemahan oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki daripada kitab asal bertajuk ‘Mafahim Yajibu an Tusohhah’)
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Item Reviewed: Islam Tersebar dengan Kasih Sayang Rating: 5 Reviewed By: HEWI PERKEPIS
    Scroll to Top