728x90 AdSpace

  • Latest News

    Monday, June 29, 2009

    Berjarah rah Ustaz Awang Pon


    Syukur kepada Allah, pada 28 Jun 2009 yang lepas rombongan PERKEPISMA seramai tujuh orang telah menziarahi Ustaz Awang Pon bin Awang Sebon di KPJ Selangor Specialist Hospital (atau digelar sebagai SMC). Rombongan ini telah diketuai oleh saudara Iszuandy Amat. Hospital ini terletak kira-kira 10 minit dari stesen komuter KTM Shah Alam.

    Ustaz Awang Pon telah berada di Kuala Lumpur sebelum ini untuk menjalani ujian kesihatan. Namun baru-baru ini mengalami, masalah kesihatan beliau tidak begitu mengizinkan dan terpaksa dihantar ke hospital untuk perhatian kesihatan.

    Gambar beliau pada 10 Mei 2009

    Rombongan telah tiba di sana pada 1.30 petang. Kami hanya mempunyai masa yang terhad untuk mematuhi prosedur hospital mengekang risiko wabak H1N1.

    Rombongan begitu terharu akan penerimaan beliau. Keadaannya tidak menghalangnya untuk melayan kami. Seperti perwatakan beliau yang sangat peramah lagi rendah diri, beliau tidak putus-putus meraikan kami. Kami tidak mampu menahan daripada menitiskan air mata kerana beliau telah bercerita akan kenangan-kenangan beliau bersama ahli rombongan dengan ramah sekali. Ia ingat orang-orang yang berdampingan dengannya. Beliau tidak lupa mengirimkan salam kepada sahabat-sahabat yang tidak hadir pada hari tersebut.

    Beliau pada suatu masa dahulu pernah menjadi Ketua Hakim Syarie Negeri Sarawak dan merupakan pengasas kepada gerakan ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) di Sarawak. Seluruh masa hidupnya diwakafkan demi agama Allah yang tercinta. Mutiara-mutiara nasihat beliau dijadikan pedoman buat kami dan berperanan besar dalam mencorak PERKEPIS. Peta dakwah beliau telah lakarkan dengan bersusah payah. Sampai masanya mengorak langkah dengan hati yang mantap.

    Masjid Wan Alwi, Tabuan Kuching. Beliau sering berjemaah di sini. Lebih merapatkan ahli PERKEPIS dengan beliau ialah ketika seketariat PERKEPIS berada di Pusat Pendidikan ABIM Tabuan (bersebelahan dengan masjid tersebut)

    Meskipun pada usia yang sudah lanjut, keadaannya tidak menghalangnya untuk menyampaikan kuliah-kuliah pengajian di Kuching. Keramahan beliau menjadikan beliau amat rapat di hati ahli-ahli PERKEPIS. Memang berasa segan berhadapan dengan beliau, tetapi kelembutan kasih sayangnya bersinar melalui dirinya yang sering merendah diri. Malah, dalam pertemuan pada 9 April 2009 oleh YDP PERKEPIS saudara Khairul Anwar bin Shazali dan rakan-rakan, kami kaget beliau tahu selangkah kehadapan berkenaan pencapaian ataupun aktiviti-aktiviti yang telah dan akan kami lalui.

    Tambahan lagi, beliau telah memanfaatkan teknologi maklumat sepenuhnya dengan membina blog beliau. Melalui pertemuan itu juga, beliau telah memberitahu bahawa beliau sering menjenguk blog kami. Beliau juga telah meminta pandangan bagaimanakah untuk menyampaikan kuliah beliau melalui internet. Mengenangkan beliau yang sangat rajin mengikuti perkembangan kami, pada 28 Jun yang lepas beliau telah berbisik, "Dah lamak kamek sik jarah blog kitak urang (Sudah lama saya tidak ziarah blog kalian)."


    Kenang-kenangan ziarah di rumah beliau pada 9 April 2009



    Kepada sahabat-sahabat sekalian terutamanya belia Islam, sedarlah, dan ambillah contoh di hadapan mata yang terbaik ini. Adakah wajar kita masih bergoyang kaki dan lemas dalam lautan hiburan sedangkan kita masih diberikan kekuatan kudrat tubuh badan, kecerdasan fikiran dan semangat muda. Sedangkan kini umat dirundung dengan pelbagai masalah.

    Sahabat-sahabat, masa muda adalah Masa Untuk Dakwah dan Amal. Seharusnya kita merasa segan jika dibandingkan dengan semangat beliau yang tetap membara. Beliau masih tidak jemu-jemu menyampaikan dakwahnya, sekalipun usianya sudah lanjut.

    Kami tidaklah berniat untuk bertandang lama kerana mahukan beliau mendapatkan rehat yang cukup. Sekalipun tidak lama, namun kami mengharapkan kehadiran kami diterima dan dipandang oleh Allah S.W.T. Menziarahi seorang ulama ataupun guru yang merupakan waris anbiya tentunya merupakan satu ibadah. Sungguh, beliau telah banyak menabur jasa kepada umat Islam, terutama di Bumi Kenyalang.

    Marilah kita memanjatkan doa agar beban beliau diringankan oleh Allah S.W.T dan mengurniakan beliau kesihatan. Amiin.


    Ya Allah, ya Allah, ringankan bebannya, ya Allah!

    Kurniakan kesihatan kepada beliau, ya Allah!




    Pautan tambahan:

    1.Blog Ustaz Awang Pon di pautan ini.

    2.Catitan Siti Raufa Sufrina (antara ahli PERKEPISMA yang terlibat dalam rombongan ziarah 28 Jun 2009) di pautan ini.

    3.Ustaz Hasfa Bakry (Timb. YDP ABIM Sarawak & Pegawai JAKIM) dalam Ustaz Awang Pon: Ulama' yang dipinggirkan Pemerintah, Dijulang Masyarakat di pautan ini.


    Ziarah YDP PERKEPIS bersama rakan (9 April 2009):
    4.Khairul Anwar Shazali (YDP PERKEPIS & Setiausaha Agung PKPIM) dalam Masalah Dalam Muslimin dan Di Mana Perubahan Bermula? di pautan ini.

    5.Abdul Muntaqim b Zulkipli (Timb. Presiden PKPIM & mantan YDP PERKEPIS)dalam Menziarahi Tokoh Negeri Sarawak di pautan ini.


    NOTA: Ustaz Awang Pon ditempatkan di KPJ Selangor Specialist Hospital wad 519, tingkat 5. Masa melawat adalah terhad, iaitu pada pukul 11.00 pagi sehingga 2.00 petang dan 4.00 petang sehingga 8.00 malam. Namun demikian, pengunjung perlu diperiksa kesihatan oleh pegawai hospital terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk.



    Berjasa Kepada Masyarakat
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    1 comments:

    Suluh Hati said... 7:35 PM, June 29, 2009

    Semoga Allah menyembuhkannya..amin.. Rindu pada bicara hikmah ustaz awg pon..

    Item Reviewed: Berjarah rah Ustaz Awang Pon Rating: 5 Reviewed By: PERKEPIS
    Scroll to Top