"Sesiapa yang merasa penat kerana bekerja seharian untuk mencari rezeki yang halal, nescaya segala dosa diampuni." (Hadith Riwayat at-Tabarani dan al-Asbahani)
Mencari peluang pekerjaan, menyara hidup membanting tulang mencari rezeki untuk diri dan keluarga merupakan satu tingkatan cabaran dalam kehidupan. Para graduan di pelbagai peringkat seperti sijil, diploma mahupun sarjana muda, kadangkala di ambang dilema ke manakah harus hala tuju hidup diarahkan.
Islam adalah agama yang meletakkan kepentingan mencari rezeki di kalangan umatnya. Bahkan, sesiapa yang hidupnya 'mengandur' ataupun berpeluk tubuh tanpa memerah keringat tulang empat kerat, adalah dianggap kurang baik di sisi agama. Bahkan, Amirul Mukminin, Khalifah Sayyidina Umar radiallahu 'anhu pernah menghalau orang-orang yang hanya duduk di masjid tanpa berusaha mencari rezeki.
Namun demikian, di sebalik kesibukan mencari rezeki, perlunya ada keseimbangan antara urusan duniawi dan ukhrawi. Sungguh, dunia ini merupakan 'ladang akhirat' yang hasilnya akan dituai pada suati hari kelak. Bahkan, jika benar niat dan amalnya, maka keseluruhan hidup ini termasuk bekerja keras menanggung beban keluarga menjadi ibadah yang besar pahalanya. Akan tetapi, perlunya ada kesedaran bahawa harta; rezeki yang diperoleh adalah pinjaman daripada Allah S.W.T semata-mata dan harus dikembalikan kepada yang berhak menerimanya.
Adapun, keseluruhan hidup ini harus digabungkan dengan makna ukhrawi, agar keselamatan dunia dan akhirat terjamin. Apalah guna harta menumpuk bertimbun menggunung tinggi, luarannya kaya, dalamnya hati sempit merana, kerana hidup ini punyai erti, makna yang harus dipenuhi.
Graduan adalah bintang-bintang umat. Mereka adalah bintang yang menjadi panduan masyarakat, umpamanya pelayar zaman mensia menjadikan bintang kejora sebagai pedoman belayar. Tiba masanya untuk kita sumbangkan tenaga, masa dan fikiran untuk membangun masyarakat.
Bagi sahabat-sahabat yang belum mempunyai jalan kerjaya, blog PERKEPIS mencadangkan beberapa peluang yang boleh dimanfaatkan. Anda perlu melayari laman-laman tersebut dan mengisi borang-borang online yang telah disediakan.
Antaranya ialah:
Capacity Building for Graduates merupakan program kerjaya untuk membantu para graduan mendapatkan peluang pekerjaan. Program tersebut memberikan peluang graduan untuk meraih pengalaman di jabatan-jabatan. Tempoh maksimum kontrak adalah selama 2 tahun. Seandainya graduan mempunyai rekod kerja baik, insya-Allah akan diserap kepada jabatan tersebut secara tetap. Terdapat senior PERKEPIS yang memasuki program ini. Buka laman web CBG untuk mendapatkan makluman lanjut di pautan ini.
Portal rasmi Kerajaan Negeri Sarawak di pautan ini.
Portal e-recruitment di pautan ini.
Portal rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Malaysia di pautan ini.
Jobs Malaysia di pautan ini.
Semoga urusan segalanya lancar dan dimudahkan, insya-Allah....
"Berjasa Kepada Masyarakat"
1 comments:
makaseh! entri tok amat2 diperlukan... =)
Post a Comment