728x90 AdSpace

  • Latest News

    Thursday, January 23, 2014

    Pengenalan Usrah

    1. Muqaddimah:
    Usrah bertujuan membina ukhuwwah Islamiyah yang kental di kalangan anggota gerakan berasaskan iman dan ilmu yang mendorong peningkatan amal dan jihad. Seperti yang diakui bahawa kemantapan gerakan bergantung besar keberkesanan usrah-usrah yang bertebaran di seluruh negara. Keberkesanan usrah-usrah pula bergantung kepada disiplin yang tinggi di kalangan anggota-anggotanya. Sebagai langkah untuk memperkukuhkan usrah, maka Biro Tarbiyah cuba menyusun kembali aspek yang berkaitan dengan disiplin usrah supaya dapat digunakan sebagai panduan bagi mengemaskan perlaksanaan program yang penting ini.
    Sebahagian besar dari kandungan panduan ini adalah dikutip dari tulisan-tulisan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin yang bertajuk Sekitar Usrah I dan Sekitar Usrah II (1979), Panduan Usrah (1981) yang disediakan oleh Allahyarham Ustaz Abdul Wahab Zakaria dan Risalah Tarbiyah (1994) yang disediakan oleh Ustaz Abdul Halim El-Muhammady. Gambaran yang lebih luas dan mendalam boleh diperolehi dengan merujuk kepada tulisan-tulisan ini.
    Panduan Perlaksanaan Usrah ini disusun bagi mewakili perlaksanaan usrah teras yang melibatkan Ahli Jawatankuasa Kerja ABIM diberbagai peringkat. Kami percaya bahawa perlu adanya fleksibiliti dalam perlaksanaan mengikut berbagai sifat usrah yang ada, namun sebahagian besar dari kandungan dalam panduan ini boleh dijadikan sebagai piawai bagi mengukur kekemasan disiplin usrah-usrah tersebut.
    2.Agenda Usrah:
    Agenda I Solat Maghrib dan Bacaan Ma’thurat Sughra 30 minit
    Agenda II Jamuan 30 minit
    Agenda III Solat Isya’ 20 minit
    Agenda IV Tafsir Quran/Huraian Hadith/Perbincangan
    Berasaskan Buku dan Hafazan 60 minit
    Agenda V Perbincangan Topik-Topik Khas, Hal Ehwal
    Semasa dan lain-lain 40 minit
    Jumlah Masa 180 minit
    3.Solat Maghrib dan Bacaan Ma’thurat:
    Setiap anggota mestilah merancang untuk sampai ke tempat usrah lebih awal supaya Solat Maghrib dapat ditunaikan secara berjamaah.Sekurang-kurangnya Ma’thurat Sughra, mestilah dijadikan bacaan wajib yang dibaca secara berjamaah iaitu sebaik sahaja selesai Solat Maghrib.
    4. Keanggotaan Usrah:
    Anggota usrah seharusnya di antara 7 hingga 15 orang, kecuali usrah umum atau usrah gabungan. Sekiranya bilangan melebihi had ini, suatu kumpulan usrah baru mestilah diwujudkan secara berasingan.
    5. Jamuan:
    Jamuan hanyalah sebagai pengalas perut kerana itu ia haruslah disediakan secara sederhana dan ringkas.
    6. Tafsir Quran/Huraian Hadith/Perbincangan Berasaskan Buku dan Hafazan:
    Tafsir Al Quran dan Huraian Hadith boleh diselangseli pada setiap minggu. Seorang Petugas Utama bagi tujuan Tafsir Quran dan Huraian Hadis mestilah ditentukan. Petugas Utama ini mestilah membuat persiapan awal dengan rujukan-rujukan dan catatan ringkas bagi tujuan pembentangan.
    Tugas juga dipertanggungjawabkan kepada anggota-anggota lain untuk membuat persiapan untuk tajuk yang sama tetapi berdasarkan kitab-kitab dan rujukan yang berlainan.
    Sebelum perbincangan diadakan adalah di sarankan agar ayat-ayat yang telah dipilih dibaca secara jahar oleh salah seorang dari anggota usrah dan diikuti bacaannya oleh anggota-anggota yang lain.
    Adalah disarankan agar perbincangan-perbincangan tersebut dapat ditulis kembali secara dan diedar kepada anggota usrah pada minggu berikutnya. Tugas ini boleh dipergilirkan antara anggota usrah.
    Ayat-ayat Hafazan (Lampiran A) mestilah dihafaz atas inisiatif sendiri. Sekiranya ada anggota usrah yang ingin tasmi’ bagi menguji bacaannya, maka bolehlah digunakan sedikit masa untuk tujuan tersebut. Peruntukan masa untuk tujuan ini tidak harus melebihi sepuluh minit.
    Dalam usaha membina budaya ilmu di kalangan anggota-anggota, adalah disarankan supaya setiap anggota diwajibkan membaca sekurang-kurangnya satu buku sebulan. Anggota usrah mestilah melaporkan tajuk buku yang telah dibacanya setiap bulan kepada Naqib. Naqib boleh memilih satu atau dua orang untuk memberi ringkasan kandungan buku yang telah dibaca.
    Bahan –bahan yang disediakan di laman sawang ABIM & MINDA MADANI Online boleh
    digunakan oleh usrah-usrah di semua peringkat. Alamat adalah seperti berikut
    http://www.abim.org.my
    7. Perbincangan Topik-Topik Khas, Hal Ehwal Semasa dan lain-lain:
    Ruang waktu ini digunakan untuk membincangkan topik-topik khas mengenai Fiqh Harakah, persoalan-persoalan yang berkaitan dengan Fiqh, Aqidah dan Akhlaq serta hal-hal yang berkaitan dengan Organisasi. Tugas membuat persediaan bagi tajuk-tajuk yang dipilih boleh dipergilir di antara ahli-ahli usrah.
    Ruang masa ini digunakan untuk membincang perkembangan sosio-ekonomi dan politik yang berlaku di dalam dan di luar negara terutama yang berkaitan dengan kepentingan umat Islam. Masa ini juga perlu digunakan untuk meneliti perkembangan kegiatan dan program-program ABIM di berbagai peringkat serta menentukan bagaimana anggota usrah boleh terlibat bagi menjayakannya.
    Kesempatan perlu juga diberi bagi membahaskan isu-isu yang dibangkitkan menerusi RISALAH, Demi Masa, Berita ABIM dan Islamic Review dan lain-lain risalah dan majalah yang dikeluarkan oleh ABIM.
    Ruang masa ini juga perlu digunakan untuk menentukan projek-projek kecil yang boleh dijayakan oleh unit usrah sebagai susulan berbentuk amal bagi kepentingan ahli usrah atau masyarakat sekeliling. Semasa bulan Ramadhan, agenda usrah boleh disesuaikan untuk membolehkan Solat Tarawikh dikerjakan secara berjamaah atau untuk membolehkan sesi Tadarrus Quran diadakan.
    8. Tempat dan Tempoh Masa Usrah
    Usrah sepatutnya berakhir pada jam 10.30 malam dan tidak sepatutnya melebihi jam 11.00 malam. Tempat usrah adalah rumah ahli-ahli usrah sendiri dan hendaklah dipergilirkan dengan jadual yang disediakan terlebih dahulu. Penggunaan markas atau sekretariat sebagai tempat usrah mestilah dielakkan.
    9. Tabung Usrah
    Tabung Usrah atau disebut juga sunduq al-usrah perlu diwujudkan khususnya untuk usrah-usrah di semua peringkat. Jumlah sumbangan untuk tabung ini adalah bergantung kepada kesanggupan masing-masing. Sumbangan dengan kadar yang disanggupi ini hendaklah dibuat secara berterusan pada setiap usrah tanpa mungkir. Jumlah bayaran yang tertangguh hendaklah dianggap sebagai hutang yang perlu dibayar. Kewujudan tabung ini diharap dapat membantu membina budaya infaq di kalangan ahli-ahli usrah di samping kutipannya dapat digunakan untuk
    membantu meringankan bebanan ahli-ahli yang menghadapi masalah kewangan.
    10. Adab dan Akhlaq Usrah
    o Mengikhlaskan hati dengan meyakini bahawa kehadiran ke usrah sebagai suatu kewajipan gerakan yang penting, sebagai suatu amalan yang disukai Allah swt dan sebagai suatu ibadah yang bakal diganjari pahala olehNya.
    o Mengenepikan program-program lain bagi membolehkan diri hadir ke usrah seperti yang dijadualkan setiap minggu.
    o Anggota-anggota yang lain juga seharusnya turut membuat persiapan-persiapan awal sama ada dari segi pembacaan dan rujukan sebelum menghadiri usrah. Keperluan-keperluan lain seperti buku catatan, kitab-kitab Al Quran dan Hadis serta lain-lain turut dibawa bersama.
    o Menepati masa dalam semua urusan termasuk kehadiran, perlaksanaan setiap agenda usrah dan juga masa ketika menamatkan usrah. Berusaha untuk berada dalam jamaah usrah selama mana yang boleh. Elak dari pulang sebelum usrah tamat.
    o Menjadikan kesempatan berusrah sebagai tempat menterjemahkan akhlaq dan budi pekerti mulia seperti kasih sayang dan ukhuwwah, kerjasama dan ‘amal jama’iy, sikap terbuka, bertolak ansur dan saling memaaf satu sama lain.
    o Menghormati adab-adab majlis seperti memberi salam semasa tiba dan pulang, memberi kelapangan tempat duduk kepada yang lain, tidak meninggikan suara semasa perbincangan dan menghormati naqib yang mengendalikan majlis. Adab-adab yang lain seperti adab ziarah dan juga adab makan mestilah juga diamalkan.
    o Adab dan akhlaq yang lain dapat dirujuk dalam Risalah Tarbiyah (1994).
    11. Program Susulan Berkala
    Anggota usrah mestilah juga merancang untuk mengadakan program-program lain sebagai lanjutan dari usrah yang biasa bagi tujuan pengukuhan nilai-nilai yang telah ditanam. Program-program berikut perlu dilaksanakan oleh usrah-usrah:
    o Qiyamullail : Sekurang-kurangnya program ini diadakan sebulan sekali. Boleh dilaksanakan dengan melibatkan anggota usrah yang ada atau bersama gabungan usrah-usrah yang lain.
    o Usrah Gabungan : Usrah gabungan perlu diadakan dua atau tiga bulan sekali dengan penglibatan kumpulan-kumpulan usrah yang lain. Pengisian program ini bergantung kepada kesesuaian mengikut pertimbangan pimpinan ABIM dan naqib-naqib usrah yang terlibat.
    o Hari Keluarga Usrah : Rehlah yang melibatkan keluarga anggota usrah perlu diadakan supaya rasa persaudaraan dan ukhuwwah dapat dibina dalam lingkungan yang lebih luas di samping memberi kesempatan anggota keluarga memahami dan mengongsi sebahagian dari idealisme perjuangan. Program ini perlu diadakan sekurang-kurangnya sekali dalam masa enam bulan.
    o Program Angkat : Untuk menentukan kesan usrah melebar kepada masyarakat, setiap kumpulan usrah perlu memilih suatu projek kecil yang secara langsung memberi faedah kepada masyarakat. Kumpulan usrah boleh mengenalpasti beberapa orang anak yatim yang masih bersekolah untuk dibantu secara berterusan, atau membina dan menyelia-selenggara satu pondok menunggu bas (bus stop) atau lain-lain projek kecil yang difikirkan sesuai bergantung kepada kreativiti usrah masing-masing.
    12. Jadual Tahunan
    Satu jadual tahunan perlu disediakan sebagai panduan umum. Jadual ini perlu menyatakan tarikh usrah, giliran rumah, tajuk perbincangan dan lain-lain butir yang berkaitan dengan usrah. Walaupun beberapa perubahan akan berlaku kerana tuntutan keadaan, namun usaha mestilah dibuat untuk seboleh-bolehnya mengikuti apa yang telah dijadualkan.
    13. Penilaian, Muhasabah dan Laporan.
    Penilaian serta muhasabah perlaksanaan usrah perlu dibuat setiap bulan bagi menentukan perjalanan usrah mematuhi format yang telah ditentukan di samping melihat keberkesanan usrah serta langkah-langkah wajar yang perlu diambil untuk memperbaikinya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Item Reviewed: Pengenalan Usrah Rating: 5 Reviewed By: Admin
    Scroll to Top