Kita kini sedang berhadapan dengan cabaran generasi muda yang kurang cenderung mengkaji warisan pemikiran dan ilmu wira bangsa terdahulu. Kecenderungan generasi muda kini lebih tertumpu kepada wira popular semasa di sekitar dunia hiburan, sukan dan muzik. Budaya santai dalam pembacaan, sembang maya, web-log dan hiburan sudah menjadi gaya atau aliran ketara. Namun begitu, wira gigih yang memberikan sumbangan ilmu dan tradisi intelektualisme tidak lagi dicari.
Akibatnya fokus sebahagian besar generasi muda, malah masyarakat umum lebih banyak berkisar kepada kehidupan artis dan penghibur popular, gosip yang tidak pernah surut, tinjauan kisah filem cinta yang silih berganti, lirik lagu meratapi kesedihan dan kekecewaan, lakonan layar tahyul dan sensasi drama mengasyikkan, disamping festival yang mengangkat budaya popular saduran daripada budaya luar. Budaya ilmu tidak akan lahir dan budaya santai misalnya menyebabkan ketandusan berfikir dan juga kemuflisan daya intelek akibat daripada kebanjiran idola dan kemarau teladan.
Oleh itu, amat penting remaja hari ini dididik menghargai ahli ilmu dan pemikirannya supaya generasi akan datang mengenal sejarah terdahulu dengan kekuatan berfikir karyawan, ilmuan dan seniman beribawa yang boleh dijadikan "sempadan" untuk menerajui masa hadapan.
Langkah ini amat penting dalam konteks menghasilkan peribadi remaja unggul yang berjasa untuk menterjemahkan pemikiran bernas dan praktik terhadap zamannya selepas mengkaji ilmu penting daripada nama besar untuk mengekalkan sebuah negara untuk disambung warisannya. Hal ini penting supaya warisan silam diletakkan pada tempatnya dan menjadi sumber rujukan untuk generasi hadapan.
Disinilah perlunya tradisi intelektualisme berteraskan ilmu dibina supaya acuan baharu berdiri diatas asas tradisi dan warisan yang kukuh. Generasi muda kini perlu menghargai pemikiran ilmuan tersohor, mengangkat nama wira besar dan kecil dalam memperjuangkan budaya tinggi sebagai teladan dan akhirnya bersikap terbuka terhadap manfaat yang akan diperoleh berbanding daripada asas tradisi luar.
Kemarau dalam berfikir kalangan golongan muda kini mesti diatasi menerusi keperkasaan ilmu dan keterampilannya, pendidikan interaktif yang melandasi pembinaan remaja secara holistik dan pemikiran kreatif dan inovatif yang berkembang sepanjang zaman.
Daya intelektual golongan muda kini seharusnya refleksi terhadap keunggulan tradisi ilmy zaman terdahulu lalu dan proaktif terhadap perubahan hari ini. Konsep maju dan berubah dalam acuan sendiri seharusnya memberikan ruang kepada tradisi unggul pada masa lalu berkembang dan tidak menolak faedah lingkungan budaya lain yang bermanfaat supaya tercetus suatu paradigma baharu bagi mengembalikan manusia dan sistemnya kepada keadaan yang lebih baik.
0 comments:
Post a Comment