728x90 AdSpace

  • Latest News

    Wednesday, November 19, 2008

    PKPIM MOHON PENYERTAAN DI DALAM PERSIDANGAN MEJA BULAT PPSMI KE-5

    Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah memohon kepada Dato’ Haji Alimuddin, Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk menyertai Persidangan Meja Bulat Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) ke-5. Surat yang dihantar kepada Dato’ Haji Alimuddin melalui faks pada 17 November yang lepas adalah berikutan daripada cadangan penganjuran persidangan tersebut untuk mendapatkan pandangan ahli akademik, profesional pendidikan, badan bukan kerajaan, persatuan ibu bapa dan guru serta pihak berkepentingan yang lain berhubung hala tuju program PPSMI.

    KPM dijangka akan membentangkan analisis keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2008, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2005-2007 serta peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 di dalam persidangan tersebut. Justeru adalah penting untuk PKPIM mewakili suara pelajar Malaysia untuk menyatakan pendirian dan pendapat yang telus dan tulus demi kebaikan dan masa depan pelajar Malaysia seluruhnya. PKPIM di dalam suratnya menyatakan hasrat untuk turut serta di dalam memberikan pandangan berhubung hala tuju PPSMI melalui kajian rambang yang dilaksanakan PKPIM.

    Di dalam perkembangan yang lain, Mohd. Hilmi Ramli, Presiden PKPIM menyeru Badan-Badan Gabungan Negeri dan ahli-ahli PKPIM serta mahasiswa di seluruh Malaysia untuk menyedari dan menghargai kepentingan Bahasa Melayu sebagai medium transmisi ilmu di dalam sistem pendidikan di Malaysia. Bahasa Melayu bukan sekadar alat untuk mencapai kecemerlangan akademik, tetapi harus dilihat sebagai elemen penting dan unik yang mengikat hubungan erat antara pelbagai bangsa di Malaysia. Apalah gunanya kecemerlangan akademik sekiranya hilang nilai budaya dan sejarah Malaysia.

    Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan harus diperkasa dan dipertahankan keutamaannya agar masa depan Malaysia yang diacu hari ini tidak hilang nilai kebudayaan dan sejarahnya. Mohd. Hilmi Ramli turut mengingatkan para pemimpin Malaysia tidak kira di lapangan politik, ekonomi mahupun agama untuk tidak melupakan ciri-ciri yang menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unik. Bahasa merupakan salah satu ciri penting sesebuah bangsa. Dalam konteks hari ini, Bahasa Melayu bukan sahaja menjadi ciri untuk Bangsa Melayu tetapi turut menjadi ciri bagi Bangsa Cina dan India setelah Bahasa Melayu diangkat sebagai Bahasa Kebangsaan.

    Mahasiswa, Penggiat Bahasa Melayu dan Pemimpin Rakyat adalah diseru untuk bersama PKPIM di dalam usaha mempertahankan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan yang seharusnya digunakan sebagai medium transmisi ilmu di dalam sistem pendidikan Malaysia seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996.

    Sekretariat PKPIM Pusat
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Item Reviewed: PKPIM MOHON PENYERTAAN DI DALAM PERSIDANGAN MEJA BULAT PPSMI KE-5 Rating: 5 Reviewed By: Azrul bin Jaini
    Scroll to Top