728x90 AdSpace

  • Latest News

    Thursday, March 26, 2009

    Sekitar Bicara Tokoh Agama Sarawak: Satu Catatan

    Oleh Abdul Mutaqim (Bro Naim)

    Pagi tadi aku bertugas sebagai pelapor (istilah lain: pencatat) bagi program Ceramah Tokoh bersempena Seminar Budaya Melayu Sarawak ke-5, yang bertempat di Kompleks Pelancongan Sarawak. Aku bertugas untuk slot pertama, tentang tokoh-tokoh agama di Sarawak, yang disampaikan oleh bekas Mufti Sarawak, Dato’ Sri Haji Anis Haji Abot. Ternyata penyampaian oleh Dato’ Sri Haji Anis Haji Abot membangkitkan minat yang sangat mendalam dalam diriku. Beliau menceritakan tentang beberapa ulama di Sarawak yang punya peranan yang sangat penting dalam menyebarluaskan ilmu-ilmu Islam di Bumi Kenyalang ini. Jika sebelum ini aku sering tertanya-tanya, siapakah ulama-ulama terdahulu yang telah memainkan peranan penting dalam dakwah di Sarawak; kerana sudah tentu sinar Islam yang dirasai pada hari ini di Sarawak ada yang mengusahakannya. Justeru, penyampaian Dato’ Sri Haji Anis Haji Abot telah berjaya memenuhi keinginanku itu.

    Dato’ Sri Haji Anis Haji Abot berkongsi apa yang diperolehinya daripada sebuah kertas kerja, hasil kajian sekumpulan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1988 tentang para ulama di Sarawak, yang ditulis oleh Dr. Ismail Abdul Rahman; bahawa sejauh yang dapat dikesan tentang sejarah ulama di Sarawak, kita hanya dapat memulakan dengan nama Dato’ Hakim Abang Haji Abdul Rahman, yang juga dikenali dengan nama Dato’ Hakim Keramat. Bolehlah dikatakan bahawa Dato’ Hakim Keramat, setakat dokumen dan catatan yang dijumpai, adalah ulama perintis di Sarawak.

    Dato’ Hakim Keramat lahir pada tahun 1829 dan meninggal dunia pada tahun 1890. Beliau merupakan anak hasil perkahwinan Haji Ibrahim bin Abang Ambil bersama Dayang Maimunah. Dato’ Hakim Keramat telah berangkat ke Mekah ketika berusia 12 tahun bersama ayahandanya untuk mendalami ilmu agama. Beliau pulang ke Sarawak pada tahun 1850, setelah mendapat berita daripada Datuk Patinggi Abdul Gapor bahawa Sarawak telah dijajah oleh orang Inggeris. Dato’ Hakim Keramat pulang ke Sarawak kerana bimbang akidah orang Islam diancam oleh golongan penjajah. Di Sarawak, beliau telah dilantik sebagai Ketua Hal Ehwal Agama bagi orang Sarawak. Walaupun bertugas sebagai salah seorang pegawai kerajaan, Dato’ Hakim Keramat juga telah membina sebuah surau di Kampung Bandarsah dan di situlah beliau mengajar ilmu-ilmu Islam kepada orang-orang kampung.

    Apa yang cukup menarik perhatianku adalah susur galur perjuangan para ulama; bagaimana perjuangan para ulama terdahulu telah melahirkan rentetan para ulama yang lain yang masing-masing memainkan peranan yang cukup penting dalam mengembangkan kefahaman Islam di Sarawak. Dato’ Hakim Keramat mempunyai beberapa orang anak, yang semuanya menjadi orang-orang yang ‘alim. Namun, yang menarik perhatianku adalah Dato’ Hakim Keramat juga mempunyai seorang anak susuan, yakni seorang ulama yang namanya tidak asing di Sarawak, Sheikh Othman Abdul Wahab. Sebagai anak susuan, Sheikh Othman Abdul Wahab turut mendapat pendidikan daripada Dato’ Hakim Keramat. Kecerdasan akal Sheikh Othman Abdul Wahab menyebabkan beliau turut dihantar oleh Dato’ Hakim Keramat untuk melanjutkan pengajian ke Mekah. Kepandaian Sheikh Othman Abdul Wahab terbukti apabila beliau merupakan antara ulama yang terpilih untuk mengajar di Masjidil Haram. Antara anak murid Sheikh Othman Abdul Wahab adalah Haji Amrullah (ayahanda kepada Pak HAMKA). Sekembalinya ke Sarawak, Sheikh Othman Abdul Wahab terus giat mengajar ilmu-ilmu agama ke masyarakat setempat. Malah, Sheikh Othman Abdul Wahab turut mengajar sampai ke Sambas di Indonesia.

    Sheikh Othman Abdul Wahab mempunyai seorang anak murid yang bernama Dato’ Imam Abang Haji Morshidi, yang turut belajar sampai ke Mekah. Dato’ Imam Abang Haji Morshidi bertanggungjawab dalam melaksanakan pembaharuan dalam sistem pengajian agama yang sebelum ini bersifat tradisional (mengaji kitab), dengan menggunakan sistem persekolahan seperti yang kita ketahui pada hari ini. Dato’ Imam Abang Haji Morshidi telah mengasaskan Al-Madrasah Al-Mursyidiyah pada tahun 1917. Madrasah itu kemudiannya telah ditukar namanya kepada Al-Madrasah Al-Islamiyah sehingga ke hari ini.

    Setelah Dato’ Imam Abang Haji Morshidi meninggal, anak kepada Sheikh Othman Abdul Wahab yakni Sheikh Sharkawi telah mengambil-alih pentadbiran Al-Madrasah Al-Islamiyah sebagai mudir (guru besar). Sheikh Sharkawi telah menjadi mudir di sekolah itu dengan bantuan temannya yang bernama En. Joll Abdul Qari. Sheikh Sharkawi dan rakannya sangat gigih dan komited dalam mentadbir Al-Madrasah Al-Islamiyah. Sekolah itu terus berjalan seperti biasa dan tidak ditutup operasinya walaupun pada zaman penjajahan Jepun di Sarawak. Sheikh Sharkawi sememangnya dikenali sebagai seorang pejuang agama dan bangsa. Beliau merupakan seorang pemidato yang baik. Beliau antara pemidato yang lantang bersuara dalam perjuangan Anti-Cession dahulu. Sheikh Sharkawi kemudiannya melanjutkan pengajiannya di Mesir, sebelum melanjutkan tugas ke Arab Saudi dan meninggal dunia di sana.

    Setelah pemergian Sheikh Sharkawi ke Mesir, pentadbiran Al-Madrasah Al-Islamiyah telah diambil alih oleh En. Joll Abdul Qari. Walaupun pada hari ini nama En. Joll Abdul Qari kurang dikenali, tetapi beliau adalah merupakan seorang yang sangat ‘alim. Beliau merupakan seorang ahli fiqh, nahu dan saraf. Beliau juga menguasai Bahasa Inggeris yang baik. Pada ketika itu, sesiapa yang menguasai Bahasa Inggeris dengan baik adalah merupakan aset kerajaan yang sangat bernilai. Namun, En. Joll Abdul Qari telah meletakkan jawatannya dalam kerajaan demi menumpukan perhatiannya kepada Al-Madrasah Al-Islamiyah. Di bawah pengajaran Sheikh Sharkawi dan En. Joll Abdul Qari, telah lahir beberapa orang anak murid. Seorang yang penting dan menarik untuk dinyatakan di sini adalah Ustaz Nahrawi Amin.

    Ustaz Nahrawi Amin memainkan peranan penting dalam menghidupkan semula Al-Madrasah Al-Islamiyah yang hampir ditutup, setelah En. Joll Abdul Qari jatuh sakit dan tidak lagi menguruskan sekolah tersebut. Ustaz Nahrawi Amin, yang telah kembali daripada pengajian di Madrasah Al-Junid Al-Islamiyah yang begitu terkenal di Singapura, telah menghidupkan semula Al-Madrasah Al-Islamiyah. Ustaz Nahrawi Amin juga telah memberikan motivasi dan galakan yang cukup hebat kepada anak-anak muda Sarawak pada ketika itu, yang rata-ratanya adalah orang miskin, untuk melanjutkan pengajian dalam bidang agama, khususnya ke Madrasah Al-Junid Al-Islamiyah, dan seterusnya ke Tanah Melayu dan ke Mesir. Didikan dan dorongan daripada Ustaz Nahrawi Amin yang diberikannya kepada anak-anak muridnya di Al-Madrasah Al-Islamiyah itulah yang telah melahirkan nama-nama tokoh agama yang dikenali pada hari ini seperti Datuk Nahrawi Abdul Rahman (Imam Besar Negeri Sarawak), Tuan Haji Anis Haji Abot (bekas Mufti Negeri Sarawak), Ustaz Awang Pon Awang Sebon (bekas Hakim Mahkamah Syari’e Negeri Sarawak, Pengasas ABIM Negeri Sarawak), serta Ustaz Loling Othman (Mufti Negeri Sarawak).

    Begitulah sedikit sebanyak susur galur para ulama di negeri Sarawak yang aku kira sangat menarik untuk digali sejarahnya, serta dihidupkan kembali semangat dan kisah perjuangan mereka agar dapat dijadikan sebagai sumber motivasi dan panduan bagi para pendakwah muda di negeri Sarawak hari ini dalam memainkan peranan sebagai penyambung mata rantai perjuangan dakwah. Sesiapa yang mempunyai apa-apa maklumat tentang nama-nama yang telah dinyatakan di atas, mohon agar dapat dikongsikan maklumat itu dan dihantar ke alamat

    emel: akhie_naim@yahoo.co.uk
    Allah jua Yang Maha Mengetahui.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Item Reviewed: Sekitar Bicara Tokoh Agama Sarawak: Satu Catatan Rating: 5 Reviewed By: HEWI PERKEPIS
    Scroll to Top