728x90 AdSpace

  • Latest News

    Tuesday, March 03, 2009

    Sudahkah Sampai Seruan Itu?


    Hari itu hari bahagia. Tika itu lautan pasir Arafah digenangi ombak manusia. Putih, serba putih. Umat manusia berbilang warna dalam pakaian serba sama seakan terpukau ke satu sudut. Di tengahnya berdiri seorang lelaki mulia. Terpancul di bibirnya kalam-kalam yang menggetarkan hati.

    Di akhir kalamnya ia menuturkan, “Ya Allah, sudahkah aku sampaikan?”

    Dua puluh tiga tahun yang lampau, lautan manusia itulah yang mungkin pernah menengking, mengherdik, mencaci, bahkan mungkin mengancam membunuhnya. Kini mereka telah jatuh cinta kepada lelaki itu. Mereka kini adalah orang-orang yang dahinya menyembah ke tanah, sujud menyembah yang Esa.Sehinggakan, diri mereka sanggup dijadikan perisai andai ada anak panah dibidik ke arahnya. Ataupun rela dijadikan tebusan tanpa soal andai lelaki mulia itu ditukar ganti dengan kematian.

    Lelaki itu menuturkan, “Ya Allah, sudahkah aku sampaikan?”

    Lautan manusia itu senada, seirama gemuruh menyahut dengan penuh cinta, “Bahkan, ya Rasulallah!”

    Lelaki itu menunjukkan telunjuknya ke arah langit,

    “Ya Allah, saksikanlah...”

    “Ya Allah, saksikanlah...”

    “Ya Allah, saksikanlah...”

    Alangkah agung rasa bahagia lelaki itu! Sepanjang hidupnya dipertaruhkan menyeru hati-hati manusia agar kembali menyembah Tuhan yang satu, akhirnya telah sampai jua risalah penyudah sekalian rasul. Dua puluh tahun ia bersabung nyawa. Akhirnya di hadapannya manusia bergemerlapan yang tertusuk dengan relung-relung cahaya keimanan. Seorang lelaki di sampingnya segera menitiskan air mata. Ia tahu lelaki mulia itu telah selesai tugasnya. Bermakna ia akan pergi buat selama-lamanya meninggalkan mereka.

    “Hendaklah yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir, boleh jadi orang yang tidak hadir lebih mengerti orang yang mendengar khabar ini secara langsung... Ya Allah, sudahkah aku sampaikan?”


    Butir-butir pasir berterbangan dihembus angin. Matahari terik membakar kulit. Segenap baris jalur pemisah langit dan bumi dilapisi gejala panas. Mulanya seperti lautan air, tetapi dirapati jadi fatamorgana akhirnya.

    Sebuah sosok pantas berlari merempuh azab hawa padang pasir. Debu-debu kelam-kabut terpukul ke angkasa. Seorang memacu kudanya dengan laju.

    Di balik fatamorgana, rupanya debuan larian kuda itu menarik perhatian seseorang. Ia bangkit berdiri melihat lelaki berkuda itu semakin lama semakin menghampirinya.

    Kuda itu berhenti di hadapannya. Lelaki berkuda memberi salam, “Assalamualaikum!”

    Itulah salam sejahtera, salam yang menjangkau sehingga Hari Pembalasan, “Alaikumsalam!”

    Tanya lelaki berkuda tadi, “Sudah sampaikah seruan itu?”

    “Bahkan, aku akan sampaikan!” sebuah panji diterimanya. Mereka bertukar. Seorang turun dari kuda, dan seorang lagi naik.

    “Teruskan perjuangan, teman! Semoga Allah bersamamu!”

    “Terima kasih. Semoga Tuhan bersamaku!” kemudian ia menggertak kuda dan memacu dengan pantas meredah lautan pasir. Panji di dipegagnya erat berkibar megah.

    Kuda mula melangkah ke muka bumi yang lain daripada hangat padang pasir. Lelaki itu membawanya meredah lurah, gunung dan lembah-lembah hijau. Perjalanan ditempuhnya luar biasa. Permukaan mula dingin, tanah diliputi salji melepak serta angin menderu menusuk tulang. Badannya menggigil dek kesejukan. Namun ia kekal tabah meredah demi panji dibawanya.



    Ia tiba di sebuah lembah. Kedatangannya dinanti oleh seseorang lelaki sasa yang sedang duduk menekur sebuah mushaf Quran. Ekor matanya terkesan sesuatu.

    Ia bangun di sisi unggun api, lalu berkata, “Syukur kepada Allah. Utusan sampai juga.”

    Wasap putih terbebas dari mulut tika lelaki berkuda melepas nafas. Lalu ia mereka berbalas salam.

    “Sudah sampaikah seruan itu?” lelaki berkuda menyerahkan panjinya.

    Pertanyaannya dijawab dengan pasti, “Bahkan, aku akan sampaikan! Semoga Allah bersamaku!”

    Tanya lelaki berkuda tadi, “Saudara tidak menunggang kuda?”



    “Tidak, kerana kakiku sepantas kuda meredah lembah, sungai dan gunung. Aku harap Tuhan akan gandakan pahalaku berganda-ganda!”

    “Semoga Allah bersamamu! Sampaikanlah seruan itu!”

    Mereka pun berpisah. Lelaki sasa itu merentas lembah-lembah, gunung-ganang, denai dan sungai, kemudian padang rumput dan akhirnya ia tiba ke destinasinya.

    Deru gemersik ombak kedengaran apabila gelombang memukul pantai. Seorang pemuda sederhana tinggi sedang menunggu di gigi air. Kulitnya gelap sedikit daripada lelaki sasa tersebut. Warnanya sawo matang.

    Mereka berbalas sahutan salam sejahtera. Lelaki sasa itu bertanya, “Sudah sampaikah seruan itu?”

    Soalannya dibalas, “Bahkan, aku akan sampaikan!” Lalu panji bertukar tangan. Panji itu dibawa atas sebuah perahu layar.

    “Ya Allah, Engkau bersamaku. Izinkanlah aku sampaikan seruan ini!” Ombak menggunung diredah, ribut taufan digagahi serta angin kencang menggoncangi, namun semua itu tidaklah dapat memadamkan obor iman yang bersinar di hatinya.

    Samudera kembali reda. Tanah besar mula kelihatan. Hatinya bergoncang apabila melihat asap berkepul-kepul menaungi langit.



    Desisnya, “Ya Allah, adakah aku terlambat?”

    Seseorang menghadang di hadapan. Ia terpacak angkuh di permukaan pantai memutih. Kepalanya dilindungi topi besi. Juga dadanya ditutupi besi. Di tangan kanannya sebilah pedang, manakala di tangan kirinya pula sebuah perisai bulat.

    Lelaki itu ketawa mengilai. Kemudian ia berkata, “Tidak ada lagi jalan ke Tanah Suci! Serambi Mekah telah kupijak dan kubakar!”

    Sebatang palang salib gergasi terpancang di gigi air Kota Melaka. Kata seorang pemuda, “Ya Allah, adakah aku terlambat? Laskar Ferenggi* telah memusnahkan tempat ini!”

    Pemuda bersahaja dengan riak wajah yang tenang. Di sisi pinggangnya tersisip senjata nenek moyang yang telah lama diguna mempertahankan agama.

    “Tidak, musuhku. Inilah jalannya. Aku mesti sampaikanlah seruan itu! Engkau tidak akan berhenti sehingga tidak ada lagi manusia bersujud di hadapan Tuhan.”

    “Demi Tuhanku. Demi menyampai seruan ini, diriku kerdil berbanding tugas di bahuku! Meski jasad ini hancur dimamah-mamah!”

    “Mara, inilah jalannya!”

    Ya Allah... sudah sampaikah seruan itu kepadaku?



    Kusampaikan khabar cinta daripada seorang manusia mulia... Muhammad sallallahu alaihi wasallam, seorang yang mengagumkan umat manusia. Namanya disebut setiap hari. Jutaan umat manusia melafaz namanya, berselawat atasnya, sebagai cinta tidak terhingga kepadanya.

    Rabiul Awal telah menjelma. Bulan inilah hari kelahiran baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Bangkitkan jiwa kita yang tidur. Gertaklah ia agar ia meniti kembali jalan yang ditempuhnya, ditunjukinya... dengan penuh cinta!

    Ingatlah... dengan dua perkara ini mampu mengubah umat ini sama ada sebaik-baik umat. Ataupun umat yang bagaikan buih-buih di lautan yang hilang diterpa angin...

    Iaitu warisan sepanjang zaman yang dihadiahkan buat umatnya, iaitu al-Quran dan sunahnya, jalannya, petunjuknya...

    Marilah, marilah, marilah kita berselawat membalas cintanya, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam...

    Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bershalawatlah kamu untuk nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya. (al-Ahzab, 33:56)


    Sudahkah sampai seruan itu?


    Berjasa Kepada Masyarakat

    Azrul bin Jaini
    Naib YDP II 2008/09
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Item Reviewed: Sudahkah Sampai Seruan Itu? Rating: 5 Reviewed By: Azrul bin Jaini
    Scroll to Top