728x90 AdSpace

  • Latest News

    Wednesday, May 12, 2010

    Terima Kasih Cikgu!


    BERBURU ke padang datar
    Dapat rusa belang kaki
    Berguru kepala ajar
    Ibarat bunga kembang tak jadi


    Dialah pemberi paling setia
    Tiap akar ilmu miliknya
    Pelita dan lampu segala
    Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

    Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
    Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
    Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
    Seribu tahun katanya menjadi hikmat.


    Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
    Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
    Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
    Jika hari ini seorang ulama yang mulia
    Jika hari ini seorang peguam menang bicara
    Jika hari ini seorang penulis terkemuka
    Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
    Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
    Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.


    Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
    Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
    Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
    Dia adalah guru mewakili seribu buku;
    Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
    Semakin bererti tugasnya kepada negara.
    Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
    Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
    Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
    Menjadi kenangan ke akhir hayat.

    USMAN AWANG
    "Guru o Guru", 1979


    Tanpa guru yang mendidik kita, siapalah diri kita... martabat guru diletakkan di kedudukan yang begitu tinggi dalam Islam. Marilah kita bersyukur kepada Ilahi atas nikmat yang dikurniai-Nya menemukan kita dengan guru-guru yang mengajarkan kita kalimah-Nya dan memimpin jalan kepada-Nya. Bukan sekadar 16 Mei sahaja Hari Guru, bahkan harus diraikan pada setiap hari, setiap masa. Dan marilah kita melafazkan kesyukuran yang amat tinggi terhadap seorang guru besar yang berjasa kepada manusia seluruhnya, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.


    Baginda adalah seorang pendidik agung yang mengajarkan manusia kalimah-kalimah dan jalan mengenal-Nya, membimbing manusia daripada kegelapan kepada cahaya; daripada kehidupan dunia yang sempit kepada lapangnya alam akhirat. Marilah kita menyatakan kesyukuran itu dengan sentiasa mengucapkan selawat atas baginda sallallahu alaihi wasallam. Allahumma solli 'ala Muhammad!



    Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) dengan rasa takzim dan merendah diri, bersempena 16 Mei 2010 ini, mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik di seluruh negara. Ke mana dan siapa diri kita, segala-galanya bermula daripada seorang insan bergelar... guru...



    Guru Pembina Negara Bangsa

    Berjasa Kepada Masyarakat



    Pautan berkaitan (blog ahli PERKEPIS):
    Selamat Hari Guru... Engkaulah Pembina Negara Bangsa... (sdr. Asyraf)
    Adab Budak Dahulu & Sekarang (sdr. Azrul)
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Item Reviewed: Terima Kasih Cikgu! Rating: 5 Reviewed By: Azrul bin Jaini
    Scroll to Top