728x90 AdSpace

  • Latest News

    Monday, March 14, 2011

    PERKEPIS DISARAN RANGKA PROGRAM BANTU SEKOLAH HADAPI MASALAH DISIPLIN

    Posted on March 14, 2011, Monday, theborneopost.com


    KUCHING: Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) disaran merangka program bagi membantu sekolah-sekolah yang menghadapi masalah disiplin seterusnya memotivasikan pelajar-pelajar tersebut untuk menjadi insan lebih baik.

    BANTU BENTUK DISIPLIN: Hasidah menyampaikan sijil penyertaan kepada Hamidah (dua kiri) yang mewakili para peserta PGIS 2011. Turut kelihatan Khairul (kiri).

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Syeed Aman Ghazali berkata konstituensi tersebut contohnya, mempunyai beberapa sekolah yang berhadapan dengan masalah disiplin.

    Sehubungan itu beliau berharap persatuan itu dapat membantu mengukuhkan pegangan akidah para pelajar dalam menghadapi cabaran-cabaran masa kini.

    “Justeru, saya menyarankan PERKEPIS merangka program bagi sekolah-sekolah yang berhadapan dengan masalah disiplin khasnya di kawasan kita (Samariang).

    “Saya harap, PERKEPIS dapat kembangkan sayap dan membantu sekolah tersebut,” katanya ketika menyempurnakan majlis penutupan Perkampungan Generasi Insan Solehah (PGIS) 2011, di Biro Wanita Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, Jalan Sultan Tengah di sini, semalam.

    Hadir sama, Yang Dipertua PERKEPIS Negeri Khairul Anwar Shazali dan Naib Yang Dipertua 3 (Hal Ehwal Siswi) PERKEPIS Hamizah Mokhtar.

    Hasidah berkata, walaupun masalah disiplin di kawasan itu tidak berapa serius, namun sekiranya disiplin dapat disuntik ke dalam diri pelajar, ia akan menyumbang ke arah generasi yang lebih cemerlang.

    Sementara itu, seramai 100 peserta perempuan dariPADA 18 sekolah menengah sekitar Kuching menyertai program tersebut.

    Program itu bertujuan memfokuskan para peserta dengan ilmu berkaitan solat, ibadat seharian, batasan aurat dan akhlak bersesuaian dengan tahap penerimaan peserta.

    Sesi bengkel pada seminar selama tiga hari itu membincangkan keselamatan pelajar remaja perempuan yang semakin meruncing dan membimbangkan.

    Menerusi perkampungan selama tiga hari dua malam itu, para peserta juga dibimbing oleh 20 orang barisan fasilitator yang terdiri daripada mahasiswi dan graduan di negeri ini yang sedang melanjutkan pengajian sama ada di universiti awam mahupun swasta.

    Dengan motto ‘Berjasa Kepada Masyarakat’, PERKEPIS komited dan konsisten sebagai gerakan pelajar Islam dinamik yang telah dan akan terus membentuk generasi muda yang berkualiti sebagai kesinambungan ketAmadunan negara dan agama.

    PERKEPIS juga telah melahirkan ramai pegawai kerajaan, ahli akademik dan profesional, usahawan, aktivis sosial dan lain-lain lagi daripada kalangan generasi muda.

    Hasidah seterusnya menambah, program itu diharap dapat menyedarkan para pelajar tentang kepentingan kecemerlangan akademik demi kejayaan masa depan lebih-lebih lagi saingan dalam memasuki alam universiti yang amat hebat dan memerlukan kecemerlangan akademik yang mantap.

    “Saya harap, program ini meninggalkan kesan yang positif kepada para peserta dalam menempuh kehidupan masa depan,” katanya.

    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Item Reviewed: PERKEPIS DISARAN RANGKA PROGRAM BANTU SEKOLAH HADAPI MASALAH DISIPLIN Rating: 5 Reviewed By: Ummu Fateh
    Scroll to Top