728x90 AdSpace

  • Latest News

    Sunday, May 11, 2014

    Dimana Martin Luther King Versi Malaysia?



    Oleh: Mohamad Safwandi Bin Suaidi

    Ketika negara sekali lagi berhadapan dengan konflik perkauman dan ketegangan agama, penulis teringat dengan sosok perjuang hak asasi manusia di Amerika pada setengah abad yang lalu. Martin Luther King merupakan satu sosok pejuang yang menjadikan Amerika Syarikat hidup dalam mimpinya.

    Perjuangan aktivis hak asasi manusia berkenaan tidak pernah di padam sejarah dengan perjuangannya dalam menentang perkauman dan menuntut hak sama rata rakyat berkulit hitam di Amerika Syarikat.

    Martin Luther King Jr. merupakan sosok yang sering diungkit malah dengan ayat-ayat beliau dalam pidatonya teragung, “I have a dream” (Aku mempunyai impian), berulang kali dipetik ketika memerangi politik perkauman sempit yang masih berleluasa pada setengah abad yang lalu.

    Perjuangan Martin Luther King bermula apabila konflik perkauman diantara kulit hitam dan kulit putih kian parah walaupun perhambaan telahpun berakhir di Amerika Syarikat pada abad ke-19.

    Menjelang pertengahan abad ke 20, segregasi diantara kaum kulit hitam dan kulit putih kian menebal apabila mereka menggunakan kemudahan awam dan sekolah-sekolah secara berasingan. Penafian hak terhadap kaum berkulit hitam itu menjadikan diskriminasi semakin parah. Hak mengundi dan mendapatkan kerja terus dinafikan oleh gerombolan yang berkulit putih.

    Hal ini telah menarik perhatian pejuang hak asasi seperti Martin luther King untuk terus menentang diskiriminasi dan ketidakadilan sepanjang hayantnya. Perjuangannya menentang perkauman dan mempertahankan hak samarata kaum satu melalui jalan yang sukar. Beliau ditentang oleh ramai pihak sehinggalah beliau menerima sebutir peluru sebagai tanda noktah dalam hayatnya.

    Walaupun Amerika Syarikat telah kehilangan satu sosok tokoh yang memperjuangkan hak samarata kaum, namun ianya tidak pernah menghilangkan pengaruh Martin Luther King di dalam kalangan aktivis pejuang yang lain. Segala usaha yang telah ditanam dengan pertumpahan darah pejuang ini akhirnya membuahkan hasil yang dipetik oleh generasinya.

    Setengah abad setelah Martin Luther King menyampaikan pidato bersejarah, seorang lagi lelaki berkulit hitam menyampaikan pidato dihadapan Lincoln Memorial, tetapi kali ini adalah sebagai presiden Amerika Syarikat. Bertahtanya seorang berkulit hitam sebagai seorang presiden bukanlah satu jalan yang mudah. Ianya disirami oleh air mata dan petumpahan darah. Akhirnya Amerika Syarikat hidup dalam mimpi dan impian Martin Luther King seperti mana diungkap di dalam konotasi pidatonya, "I have a dream".

    Sorotan sejarah bukanlah penghakiman mandatori kerana manusia yang mencatat sejarah tidak bebas daripada prasangka dan prejudis dirinya. Sejarah hanya merakamkan kesudahan yang terpampang di depan mata, jarang sekali mengupas secara mendalam dan rumit. Sejarah yang telah dipahat oleh pejuang keadilan seperti Martin Luther ini memberikan pengajaran kepada generasi seterusnya bahawa perkauman seharusnya menemui jalan penyelesaiannya.

    Dalam konteks realiti masyarakat Malaysia, segregasi kaum yang masih lagi menebal seakan-akan pecahan kaum ini segaja ditanam bagi membenarkan perasaan fanatik terhadap agama dan kaum yang melampau-lampau. Keadaan yang berlaku di Malaysia ini merupakan suatu realiti yang kurang sihat dalam proses pembentukan negara bangsa.

    Saya percaya bahawa akan wujud seorang Martin Luther King versi Malaysia yang akan memperjuangkan hak keadilan sosial merentasi kaum di negara ini. Apalah ertinya jika kita punyai banyak projek pembangunan, bangunan pencakar langit jika elemen perkauman masih lagi ditanam di ladang yang subur dan dituai dengan kebencian.


    *Mohamad Safwandi Bin Suaidi merupakan Exco Penerangan Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS)
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Item Reviewed: Dimana Martin Luther King Versi Malaysia? Rating: 5 Reviewed By: Admin
    Scroll to Top