728x90 AdSpace

  • Latest News

    Thursday, September 11, 2014

    PERKEPIS Kesal Kertas UPSR Bocor


    Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) melahirkan kekesalan atas kes kebocoran melibatkan perperiksaan awam UPSR ini. Sesungguhnya PERKEPIS memandang serius kes kebocoran kertas perperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Sains dan Bahasa Inggeris ini kerana ianya menyulitkan ramai pihak dan merupakan tindakan yang tidak berintegriti.

    Tindakan yang kurang amanah dan integriti ini adalah amat dikutuk dan pihak bertanggungjawab haruslah dibawa ke muka pengadilan. Berdasarkan kepada laporan yang dikeluarkan, 473,175 calon perperiksaan UPSR bagi subjek sains dan bahasa Inggeris perlu menduduki semula kertas berkenaan. Hal ini amat mendukacitakan kerana ramai pihak yang bertungkus membuat persiapan menghadapi perperiksaan ini terpaksa untuk bekerja keras akibat daripada tindakan tidak berintegriti ini.

    Justeru itu, PERKEPIS sekali lagi menyatakan kekesalahan penuh bersama PKPIM terhadap peristiwa yang berlaku ini. Kami berharap semua pihak agar bersabar dan tenang dalam menghadapi peristiwa ini. Bagi calon perperiksaan UPSR yang bakal menduduki semula kertas Sains dan Bahasa Inggeris, diharap anda mengambil peluang ini untuk memaksimakan usaha anda bagi mendapat keputusan yang lebih cemerlang dan memberansangkan.

    "Berjasa Kepada Masyarakat"
    Mohd Safwandi Bin Suaidi
    Exco Penerangan PERKEPIS


    KENYATAAN MEDIA 
    PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA 
    11 SEPTEMBER 2014 

    ISU SOALAN BOCOR BUKAN KALI PERTAMA: PKPIM GESA SIASAT SECARA SERIUS 

    PKPIM menyatakan kekesalan akibat penangguhan ujian mata pelajaran Science 018, 028, 038 bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dijadualkan berlangsung pada jam 8:15 pagi ini kerana didapati bocor. 

    Merujuk kepada kenyataan akhbar oleh Lembaga Peperiksaan pada 10 September 2014, kandungan soalan bagi kertas peperiksaan itu telah tersebar melalui media sosial. Lembaga Peperiksaan juga telah menyatakan komitmennya untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat kes ini dan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang.

    Tindakan Lembaga Peperiksaan untuk menarik semula soalan peperiksaan mata pelajaran Science 018, 028, 038 yang bocor ini merupakan suatu tindakan yang betul dan wajar walaupun kemungkinan besar banyak lagi soalan peperiksaan bagi mata pelajaran lain juga turut bocor di media sosial.

    PKPIM mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertanggungjawab ini. Membocorkan soalan peperiksaan awam adalah suatu tindakan khianat terhadap prinsip pendidikan dan perbuatan ini menyalahi semangat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) seperti yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996.

    Lebih menyedihkan, tarikh penangguhan peperiksaan ini bersamaan dengan tarikh pembentangan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 yang telah dibentangkan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin pada dua tahun yang lalu (11 September 2012). Justeru, PKPIM bertanya, berdasarkan kejadian ini, sejauh mana keseriusan pihak kementerian dalam menambahbaik sistem pendidikan negara?

    Kebocoran soalan peperiksaan bukanlah kali pertama berlaku. Ia bukan fenomena baharu dalam konteks peperiksaan awam di Malaysia. Cuma, mungkin soalan bocor itu tidak dianggap sebagai ‘bocor’ sebelum ini. Kami juga percaya, sekiranya satu kertas peperiksaan telah bocor soalannya, maka tidak mustahil untuk kebocoran soalan berlaku untuk kertas-kertas peperiksaan yang lain.

    Oleh yang demikian, sebagai sebuah pertubuhan pelajar di peringkat kebangsaan yang sentiasa peduli dengan kualiti pendidikan di Malaysia, PKPIM menggesa pihak berwajib khususnya Lembaga Peperiksaan dan Kementerian Pendidikan menyiasat isu ini secara serius. Tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mereka yang terlibat dalam tindakan tidak bertanggungjawab ini.

    Kepada para guru, penggubal soalan peperiksaan dan juga petugas peperiksaan, PKPIM mengingatkan bahawa peperiksaan adalah salah satu aspek daripada keseluruhan proses pembelajaran bagi para pelajar. Peperiksaan bertujuan untuk membuat pentaksiran dan penilaian terhadap apa yang dipelajari. Justeru, kami merayu agar mengelakkan perbuatan tidak bertanggungjawab seperti ini atas sebab semata-mata untuk “ranking” sekolah yang baik. Tindakan seperti ini adalah amat memalukan.

    Kepada ibu bapa, kami sedia maklum bahawa kecemerlangan anak-anak dalam peperiksaan merupakan sesuatu yang diidamkan. Adalah menjadi kebanggaan bagi setiap ibu bapa apabila anak-anak mereka cemerlang dalam peperiksaan. Walau bagaimanapun, apakah tindakan menyebarkan soalan bocor seperti ini dianggap sebagai sesuatu yang bermaruah dan boleh dibanggakan?

    PKPIM sekali lagi menyatakan kekesalan kami terhadap peristiwa yang berlaku ini. Kami menggesa pihak bertanggungjawab menyiasat kes ini secara serius demi maruah dan masa depan pendidikan negara.

    Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh
    Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Item Reviewed: PERKEPIS Kesal Kertas UPSR Bocor Rating: 5 Reviewed By: Admin
    Scroll to Top