728x90 AdSpace

  • Latest News

    Thursday, April 10, 2008

    Budak Kupas Udang Kumpul Duit Rawat Penyakit

    Oleh SOPI SAMAILE
    MUKAH 30 Mac – Seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang menghidapi penyakit pundi kencing sanggup mengambil upah mengupas kulit udang untuk mengumpul wang bagi merawat penyakitnya itu.
    Menyedari kemiskinan hidup keluarganya, Nur Syaeliyana Abdul Aziz juga sanggup bangun seawal pukul 6 pagi untuk turut sama mencari sumber kewangan bagi merawat penyakit yang dideritainya sejak tiga tahun lalu.
    Nur Syaeliyana atau nama timangannya, Bibi, yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik itu menderita penyakit saluran pundi kencing tersumbat sejak berusia tiga tahun meskipun keadaan fizikal dan luarannya tampak riang dan ceria.
    Walaupun masih terlalu kecil untuk memahami kehidupan dan penderitaan, namun Nur Syaeliyanai mengerti kekurangan dan kesempitan hidup orang tuanya lalu bertekad membantu ibunya mengambil upah biarpun hanya 50 sen bagi setiap kira-kira satu kilogram.
    ‘‘Kalau kerja, dapat upah 50 sen bagi setiap satu kilogram dan duit itu saya berikan kepada ibu.
    ‘‘Rasa penat memang ada dan kadang-kadang berasa sedikit sakit apabila membuat kerja itu tetapi saya kasihan ibu... Nur Syaeliyana mahu tolong ibu,” katanya kepada pemberita di Kampung Kuala Matu Hilir di sini.
    Disebabkan penyakitnya itu, pergerakan Nur Syaeliyana agak terhad namun ia tidak mematahkan semangat kanak-kanak kecil tersebut untuk mengambil upah mengupas kulit udang dengan tekun.
    Meskipun berasa sedih, ibu bapa Nur Syaeliyana tidak mampu berbuat apa-apa untuk melihat kanak-kanak itu bermain seperti rakan sebayanya yang lain kerana kesempitan hidup yang dialami.
    Ibunya, Sara Iri, 27, memberitahu, demi Nur Syaeliyana mereka sekeluarga pernah ‘mengikat perut’ bagi memastikan wang yang disimpan bagi merawati penyakit anaknya itu mencukupi.
    Menurutnya, sehingga kini keluarganya terpaksa membataskan segala perbelanjaan dan menyimpan wang sedikit demi sedikit untuk memastikan anaknya itu menerima rawatan yang terbaik di Hospital Sibu dan Hospital Umum Sarawak (HUS).
    ‘‘Dalam serba kekurangan, saya dan suami terpaksa ke Kuching untuk merawat Nur Syaeliyanai yang kini masih memerlukan rawatan lanjut,” kata suri rumah itu, manakala suaminya pula hanya bekerja sebagai buruh ladang kelapa sawit.
    Sara berkata, dia dan suaminya tidak pernah memaksa Nur Syaeliyana untuk bekerja tetapi ia adalah kerelaan hati anak kecil itu sendiri walaupun berasa sedih melihatnya bekerja dalam keadaan menghidapi penyakit seumpama itu .
    Bagaimanapun, Sara melahirkan rasa kagum dan bangga terhadap kerajinan anaknya itu yang mungkin memahami keadaan hidup keluarga yang kurang berkemampuan.
    Katanya, Nur Syaeliyana mampu memperoleh sehingga RM5 sehari menerusi upah yang diambilnya itu bagaimanapun ia bergantung pada tangkapan dan kadangkala tidak ada langsung.
    ‘‘Saya pernah melarangnya beberapa kali tetapi dia masih degil dan akhirnya saya biarkan walaupun sedih melihat kesungguhannya itu,” ujarnya.
    Sara memberitahu, mereka sekeluarga tidak dapat melupakan detik mencemaskan yang pernah dialami Nur Syaeliyana apabila anaknya itu tidak henti-henti menangis kerana terlalu sakit menahan penyakitnya.
    Sehubungan itu, orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan dan bersimpati dengan nasib Nur Syaeliyana serta keluarganya, boleh menghubungi mereka di nombor 084-832725.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Item Reviewed: Budak Kupas Udang Kumpul Duit Rawat Penyakit Rating: 5 Reviewed By: HEWI PERKEPIS
    Scroll to Top