728x90 AdSpace

  • Latest News

    Friday, April 04, 2008

    MEDIA DAN BUDAYA POPULAR PERLU DIKAWAL

    Isu keterlibatan mahasiswa universiti dengan seks luar nikah serta salah laku moral seperti yang dibincangkan dalam rancangan Keluarga Di 9 (KD9) baru-baru ini seharusnya mengundang kerisauan di kalangan masyarakat dan juga para pemimpin di negara ini. Soal keruntuhan akhlak golongan remaja dan mahasiswa ini sudah sejak sekian lama dibincangkan, namun masalahnya tetap tidak selesai. Perkara ini perlu dipandang secara serius kerana apabila generasi remaja dan mahasiswa sudah rosak akhlaknya, dikhuatiri negara akan mengalami kerugian sumber manusia dan seterusnya mengganggu-gugat kestabilan dalam negara.

    Apa yang lebih menyedihkan dan merisaukan adalah promosi budaya-budaya Barat yang wujud dalam budaya popular di negara ini, sehingga seolah-olah mempengaruhi generasi muda negara ini untuk melakukan perkara yang sama. Sebagai contoh, kenyataan yang dikeluarkan oleh penyanyi popular Anuar Zain berkenaan kesudiannya untuk membenarkan peminat-peminat wanitanya berkelakuan tidak senonoh (mencium dan memeluknya) ketika majlis ‘A Nite With Anuar Zain’ kelak menggambarkan sikap yang tidak patut ada pada diri seorang artis yang merupakan public figure. Amat menyedihkan apabila mengetahui artis di negara ini sendiri sanggup mengenepikan hukum agama dan budaya bangsa hanya semata-mata atas tiket ‘keseronokan’. Hal ini menggambarkan kepada kita betapa soal nilai dan akhlak seolah-olah tidak lagi menjadi keutamaan.

    Pihak berkuasa, seperti Kementerian Penerangan contohnya, harus mengambil tindakan tegas terhadap kenyataan yang dibuat oleh penyanyi tersebut. Jika sebelum ini perbuatan Faizal Tahir di atas pentas dianggap sebagai tidak sesuai dan mendapat denda yang sewajarnya, maka hasrat Anuar Zain untuk melakukan sesuatu yang lebih melampau itu pun harus diambil tindakan yang sewajarnya. Jika perlu, majlis ‘A Nite With Anuar Zain’ itu hendaklah dibatalkan sahaja. Tambahan lagi apabila generasi muda di negara ini sudah cukup banyak dihidangkan dengan rancangan dan aktiviti hiburan, sehingga mengakibatkan generasi muda hilang idealisme perjuangan dan hilang kepedulian sosialnya.

    Tambah membingungkan dan merisaukan adalah kelahiran satu lagi filem yang berpotensi untuk merosakkan pegangan agama generasi muda. Filem ‘Akhirat’ terbitan Sri Saheb Production Sdn. Bhd. merupakan satu lagi filem yang menuruti filem-filem ‘tanpa nilai’ yang sebelumnya seperti Sepet, Gubra dan Anak Halal. Penerbitan filem ‘Akhirat’ ternyata bercanggah dengan asas nilai dan budaya setempat, khususnya nilai-nilai Islam. Malah, apabila produsernya S. Baldev Singh menyatakan bahawa filem ‘Akhirat’ ditayangkan bersempena dengan Maulidur Rasul, hal itu jelas merupakan satu penghinaan kepada agama Islam. Jika pihak kerajaan sebelum ini mengambil pendirian tegas terhadap klip video ‘Fitna’ yang menghina Islam, maka pihak berkuasa harus juga mengambil pendirian yang tegas terhadap filem ‘Akhirat’ yang turut menghina agama Islam. Filem tersebut perlu diharamkan dan pihak kerajaan perlu memastikan filem-filem seperti ini tidak akan dihasilkan lagi.

    Pihak media, para penghibur dan pihak berwajib haruslah lebih bertanggungjawab khususnya dalam mencorak budaya popular dan menghadirkan hiburan kepada masyarakat. Soal nilai dan akhlak tidaklah boleh dipisahkan walaupun daripada seni kerana seni adalah sebahagian daripada budaya. Oleh sebab itu, soal pemerkasaan budaya perlu diberikan perhatian yang serius agar kita tidak membawa budaya-budaya Barat yang tidak sihat dan bercanggah dengan nilai-nilai agama dan bangsa setempat. Penguatkuasaan yang lebih serius adalah perlu. Jika pada awal tahun 90-an dahulu artis-artis tidak dibenarkan untuk berambut panjang sekalipun, maka kini sikap artis dan penghibur yang tidak bermoral juga perlu diberikan perhatian yang serius.

    Posted by Akhie Naim
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Item Reviewed: MEDIA DAN BUDAYA POPULAR PERLU DIKAWAL Rating: 5 Reviewed By: PERKEPIS
    Scroll to Top