728x90 AdSpace

  • Latest News

    Tuesday, April 01, 2008

    Media : PKPIM GESA TINDAKAN TEGAS TERHADAP KLIP VIDEO ‘FITNA’

    Tindakan seorang ahli politik Belanda, Geert Wilders, menghasilkan klip video pendek bertajuk ‘Fitna’ yang bertujuan untuk menghina Islam dan mencaci Al-Qur’an telah menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia. Ahli politik Belanda itu seolah-olah tidak mengambil iktibar daripada isu sebuah akhbar Belanda yang menyiarkan karikatur Nabi Muhammad beberapa tahun yang lepas, yang telah menyebabkan ketegangan berlaku antara komuniti Islam dan bukan Islam khususnya di negara-negara Barat.Klip video selama 15 minit bertajuk ‘Fitna’ ini ternyata dengan jelas cuba menghina agama Islam, menghina Rasulullah s.a.w. dan mencaci kesucian kitab suci Al-Qur’an. Klip video tersebut memaparkan beberapa ayat-ayat suci Al-Qur’an yang dikaitkan dengan terorisme.

    Umat Islam seluruh dunia nyata tersinggung dan marah dengan klip video tersebut yang mempergunakan ayat-ayat suci Al-Qur’an untuk menuduh agama Islam sebagai agama yang mendorong umatnya kepada keganasan sedangkan Islam adalah agama yang menjadikan kasih sayang dan keselamatan sebagai antara nilai asas.Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mewakili perasaan pelajar-pelajar Islam seluruh negara ingin menzahirkan rasa tidak puas hati dengan penghasilan klip video tersebut yang bersifat provokatif. PKPIM ingin menggesa agar pihak kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, serta masyarakat keseluruhannya mengambil pendirian yang tegas dengan menyatakan bantahan terhadap klip video tersebut.

    Selain daripada itu, PKPIM juga menggesa pihak yang berkuasa agar mengambil tindakan tegas terhadap klip video tersebut dengan menghantar bantahan rasmi kepada kerajaan Belanda. Tindakan yang tegas perlu diambil kerana penghasilan klip video seperti itu adalah merupakan satu hasutan yang akan memburukkan lagi hubungan antara dunia Islam dan dunia Barat.Namun, dalam masa yang sama, PKPIM ingin menyeru kepada seluruh umat Islam agar bersikap matang dan tidak bertindak balas secara terburu-buru dalam menangani isu ini. Umat Islam tidak seharusnya terpengaruh dengan provokasi melampau yang dilakukan melalui klip video tersebut. Sebaliknya, masyarakat Islam boleh mengambil tindakan mengikut saranan oleh ulama’ terkemuka dunia, Prof. Dr. Yusuf Abdullah Al-Qaradhawi.

    Dalam memberikan respon terhadap klip video tersebut, Al-Qaradhawi mencadangkan lima perkara yang boleh dan perlu dilakukan oleh umat Islam.
    1. Hujah-hujah ilmiah dan akademik perlu disebarkan untuk menyangkal tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan terhadap Islam, dan hujah-hujah ini perlu diterbitkan dalam pelbagai bahasa agar masyarakat seluruh dunia dapat memahami Islam dengan sebenarnya.
    2. Masyarakat perlu meminta dan mendesak pihak kerajaan di negara masing-masing agar membuat pendirian tegas dan menyatakan bantahan secara rasmi bagi membuktikan bahawa dunia Islam tidak redha dengan sebarang tohmahan dan tuduhan yang dilemparkan.
    3. Respon dalam bentuk kesenian dan sebaran media perlu dilakukan kerana filem-filem dan rancangan televisyen boleh memainkan peranan yang sangat penting dalam menjelaskan sifat dan imej sebenar Islam.
    4. Umat Islam juga perlu memboikot produk-produk yang dihasilkan oleh negara-negara yang membenarkan rakyatnya menghina dan memfitnah Islam secara terang-terangan.
    5. Umat Islam sendiri perlu mendalami ilmu agama dan mengamalkan akhlak mulia sepertimana yang diajar dalam Islam dan ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. agar tidak membentuk persepsi yang salah terhadap Islam.

    PKPIM menanam harapan yang tinggi untuk negara Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh di dunia untuk memainkan peranan penting dalam memelihara kesucian agama Islam secara matang dan berhikmah. PKPIM juga berharap agar tidak ada lagi pihak yang akan cuba untuk menghina kesucian agama Islam, kerana hal itu hanya akan membangkitkan kemarahan umat Islam seluruhnya dan memburukkan lagi hubungan di antara masyarakat berlainan agama.



    ABDUL MUNTAQIM BIN ZULKIPLI

    Setiausaha Agung,Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Item Reviewed: Media : PKPIM GESA TINDAKAN TEGAS TERHADAP KLIP VIDEO ‘FITNA’ Rating: 5 Reviewed By: PERKEPIS
    Scroll to Top