Sinar matahari menyinar bak menggigit kulit. Langit cerah nan biru. Teriknya suria bak membakar. Seorang remaja lelaki mengipas-ngipas badannya. Wajahnya berpeluh-peluh. Sesekali ia mengimbas suasana biasa di Tamu Lama Miri (Pasar Kedayan). Penjual-penjual sayur yang lain juga sepertinya. Berteduh kehangatan menunggu pelanggan bertandang membeli sayuran.
Namun hari ini cukup membosankannya. Tidak banyak yang ia perolehi. Lalu ia menyeluk saku jeans yang dipakainya. Kemudian jemarinya menggarap sebuah kotak kecil. Ia membuka kotak itu kemudian mengeluarkan sebatang rokok. Ia memetik api dan menyalakan rokok. Rokok itu disedutnya. Bagaikan naga, ia menghembus nafasnya dengan kuat dengan mengeluarkan asap putih. Ia bersandar pada kerusi kayu melayan khayalannya.
Berdiri di satu sudut, berdiri seorang tua. Ia sudah memerhatikan remaja itu sejak tadi. Ia merapatinya, seperti seseorang yang berminat membeli sayurnya.
"Kacang panjang, pakcik!" tegurnya.
"Berapa sigek tok (Berapa satu)?"
"Seringgit."
Ujar orang tua itu, "Kitak sik sekolah ari tok (Awak tidak sekolah hari ini)?"
Remaja itu diam. Katanya, "Kitak mok meli tek ((Pakcik) betul mahu beli)?"
"Eh, kitak anak si fulan bin si fulan nak(Bukankah awak anak si fulan bin si fulan)?" kata orang tua itu, memancing perhatiannya. Ia kenal siapakah orang tua anak itu.
Remaja itu mengangguk. Raut wajahnya berubah. Jelas di air mukanya kehairanan. Kata orang tua itu lagi, "Bukankah kitak tok nggak sebulan lagi mok SPM (Bukankah sebulan lagi awak akan SPM)?"
Remaja itu mengangguk, "Aok."
Orang tua itu bersuara, "Kenak kitak di sitok (Kenapa awak berada di sini)?"
Mulutnya muncung sedikit, dua keningnya seolah-olah bertemu di satu titik. Wajahnya yang tadi nampak kehairanan bertukar arah menjadi masam. Katanya dengan mendongak tinggi,"Carik kebebasan (Mencari kebebasan)."
Balas orang tua itu dengan tenang, "Bapak kitak sik cukup merik kebebasan kah(Adakah ayah awak tidak beri cukup kebebasan)?"
Remaja itu mendongak lagi seolah mencabar kemudian mengangguk. Jawabnya, "Ada."
Kata orang tua itu lagi, "Kebebasan kedak ney kitak maok (Apakah kebebasan yang awak mahu)?"
Jawab remaja itu dengan suara yang tegas, "Kebebasan berkawan-kawan."
Ujar orang tua itu, "Apa untungnya kebebasan kawan-kawan?"
Bagai halilintar, hati remaja seakan tercabar. Mengapakah 'hak'nya perlu dipersoalkan? Apakah kuasa orang tua ini atasnya? Ia diam sahaja menunggu jawapan orang tua di hadapannya.
"Adakah yang kitak maksudkan, kebebasan merokok?" Remaja mengalihkan pandangannya ke tepi jalan. Sambung orang tua itu lagi, "Minum arak?"
"Melepak?"
Orang tua itu terus berkata-kata, "Ngelayo sik tentu hala (Berpeleseran tidak tentu hala)?"
Lemparan soalan itu bagaikan tusukan bisa di hatinya. Remaja itu tunduk dan semakin tunduk diam seribu bahasa. Ia tidak tahu apa yang harus dijawab. Dirinya tidak ke sekolah. Ia bersalah kepada ibu bapanya. Ia bersalah kepada dirinya sendiri. Ia juga bersalah kepada orang-orang di sekitarnya. Apakah untungnya kebebasan ini? Aduh, mengapalah muncul orang tua ini?
"Molah persetubuhan haram?"
"Coba padah kamek, apa untongnya (Cuba terangkan kepada saya, apakah faedahnya)?"
Remaja itu tunduk. Ia tidak tahu apa mahu dikata. Segala yang ditanyai orang tua itu benar belaka. Apakah untungnya 'kebebasan' ini?
"Kitak tauk giney susah mak ngan bapak kitak ncarik duit supaya kitak dapat makan (Awak tahu betapa susah ibu dan ayah awak mencari nafkah supaya awak dapat makan)?"
"Kitak tauk sik kinek tok sidaknya sentiasa risokan kitak, fikirkan kitak (Adakah awak tahu betapa mereka sentiasa risaukan awak, fikirkan tentang awak)?"
Remaja itu tunduk. Rambutnya yang panjang menutupi kepalanya. Hatinya remuk bagaikan kaca dihempas ke batu. Apakah untungnya kebebasan seperti ini? Hanya kelihatan air mata menitik ke lantai.
"Pernah sik sidaknya nuntut papa mbalas jasa sidaknya (Adakah pernah mereka menuntut dibalas jasa mereka)?"
"Adik, kitak tok gik mudak. Sik kedak kamek, sik lamak lagik dah mok expired. Masa belajar, kitak belajar. Bukan mbuang masa kedak tok. Kitak perlu ilmu, untuk masa depan kitak juak. Baruk ya lah kehidupan kitak boleh jaoh lebeh bagus(Adik, awak masih muda. Tidak seperti saya, tidak lama lagi dah nak expired. Masa belajar, awak belajar. Bukannya membuang masa seperti ini. Awak perlukan ilmu, untuk masa depan awak juga. Barulah kehidupan awak boleh jauh lebih baik)."
"Bah, kamek balit sinun lok, njaga kedei. Janganlah kitak ponteng lagik (Eh, saya balik ke sana dahulu, mahu jaga kedai. Janganlah awak ponteng lagi)."
"Pakcik..." remaja itu mengulurkan tangannya. Matanya merah, pipinya basah. Katanya, "Trimak kaseh."
"Sama-sama. Sekda hal ya."
Orang tua itu berjalan menyusur di celah-celah lorong-lorong laluan para pengunjung Tamu Lama. Akhirnya lembaganya lesap di dalam himpunan manusia. Remaja itu duduk termenung berfikir. Kali ini ia tidak bersandar. Kaki yang dijulur malas tadi dirapat kembali. Kesibukan suasana berjual beli di Tamu itu tidak diendahnya lagi. Ia bermenung, berfikir, meneniti diri. Ia berfikir:Apakah untungnya kebebasan ini?
Berjasa Kepada Masyarakat
Azrul bin Jaini
Ahli biasa PERKEPIS
6 comments:
Siapa Pakcik ya owh?respek mek ngan nya eh! :)
salam...
a very great sharing...true story ka?hehe
p/s:lawak la azrul letak signage ahli biasa...hehe
Nang kamek ahli besa pun -_-"
tang x ngenak jak bunyinya bang azrul. ahaha~
-_-" yodeh... sik tauk lagik giney mok madah. Kinek tok nang sebagai ahli besa. Kamek bukan pimpinan lagik. Terpulanglah giney. Hohoho...
Post a Comment