Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.
Puji-pujian kepada Allah, kerana dengan izin dan rahmat-Nya, Majlis Perhimpunan Agung Tahunan Persatuan Kebangsan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) kali ke-48 telah selamat berlangsung pada 8 Ogos sehingga 9 Ogos 2009. Perhimpunan ini yang juga dinamakan sebagai muktamar telah dihadiri oleh ahli PKPIM dari seluruh negara, merangkumi kampus-kampus tempatan dan juga Badan Gabungan Negeri, BGN. Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) merupakan salah sebuah BGN dalam PKPIM.
PERKEPIS telah menghantar seramai 27 termasuk perwakilan dan pemerhati dalam MPAT ini. Delegasi terdiri daripada mahasiswa-mahasiswi UIA Gombak, UIA PJ dan Nilai, UTeM, Unisel, Darul Quran, UPSI dan perwakilan dari PERKEPIS Pusat. Meskipun tidak seramai tahun 2008, namun kemeriahannya tetap terasa. Menjadi satu rasa kebersamaan apabila orang Sarawak yang jauh di perantauan untuk berkumpul bersama-sama. Rindok ati kata urang...
Bersempena MPAT ini, PKPIM telah menganjurkan program Kongres Pelajar dan Penegasan Teras-teras Kenegaraan. Kongres ini bertujuan untuk menekankan garis panduan asas yang perlu diperhatikan dan dihadam maknanya. Pengisian Kongres ini penting, dalam menghadapi arus suasana negara yang semakin hari semakin menuntut mahasiswa khususnya untuk lebij prihatin dan bertindak proaktif. Kongres ini telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Tinggi, Yang Berhormat Dato' Saifuddin bin Abdullah. Beliau pernah terlibat secara aktif dalam PKPIM dan menjadi salah seorang daripada pimpinan PKPIM Pusat pada suatu masa dahulu. Bersempena dengan ini juga, Dato' Saifuddin telah merasmikan buku PKPIM: 5 Darsawarsa bersempena PKPIM yang hampir 50 tahun berada di persada dakwah negara.
MPAT menyaksikan perbahasan-perbahasan yang lebih bersifat menegur dan mengemukakan cadangan-cadangan pembaikan, agar jentera dakwah PKPIM terus dibaiki dan dimantapkan. Betapa pentingnya ada insan-insan yang peka akan permasalahan dalaman jemaah dan pada masa yang sama menyeru untuk kritikal serta proaktif menghadapi permasalahan umat. Oleh yang demikian, perhimpunan sebegini diharapkan dapat mematangkan tindakan PKPIM secara kolektif bersama badan-badannya yang lain.
MPAT ke-48 menyaksikan perubahan dari segi tampuk kepimpinan (gambar atas). PKPIM yang sebelum ini telah dikepalai oleh Presiden, sdr. Hilmi Ramli telah beralih amanah kepada sdr. Faisal Abdul Aziz. Saf pimpinan PKPIM sesi 2009/10 ini juga dibarisi oleh kepimpinan yang baru. Semoga Allah meneguhkan hati-hati kita dan mengikat hati-hati ini kepada-Nya. Semoga dengan saf kepimpinan PKPIM yang baru ini, diharapkan agar bunga-bunga dakwah PKPIM terus subur dan mampu berencak dengan lebih aktif menghadapi persoalan-persoalan umat yang belum selesai.
Hidup Biar Berjasa
Berjasa Kepada Masyarakat
NOTA: Malam Tautan Anak Negeri, PERKEPIS bersempena MPAT ke-48 telah berlangsung pada 8 Ogos 2009. Insya-Allah sebuah entri khas akan disediakan selepas ini. =)
0 comments:
Post a Comment