"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu puasa
seperti mana diwajibkan ke atas mereka sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertakwa."
(Al-Baqarah: 183)
Segala puji dan syukur hanya bagi Allah s.w.t. serta selawat dan salam ke atas Sayyidina Muhammad Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya telah tiba Ramadhan, bulan al-Mubarak yang dinanti-nantikan sepanjang tahun oleh muslimin dan muslimat. Bulan yan dipenuhi dengan maghfirah Allah s.w.t. dan padanya Allah s.w.t. letakkan satu malam yang dimuliakan iaitu lailatul qadr yang diberkati dengan kemuliaan lebih daripada 1000 bulan (al-Qadr: 2). Turut digelar dengan lailatul mubaraqah yang padanya juga diturunkan al-Quran (al-Dukhan: 3-5). Ramadhan sememangnya bulan untuk muslimin dan muslimat sebagai satu anugerah kasih-sayang Allah s.w.t. kepada setiap hamba-Nya untuk diambil manfaat akan keberkatannya.
Abu Hurairah telah berkata; aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda tentang Ramdhan yang bermaksud:
"Sesiapa yang mendirikannya (Ramadhan) dengan penuh keimanan dan keikhlasan, diampunkan baginya dosa yang telah lalu"
(H.R. Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasa'ie, Malik, Ahmad dan Baihaqi)
Ramadhan seharusnya menjadi bulan penyucian jiwa muslimin dan muslimat bagi merenung kembali diri yang dilumuri dengan kemaksiatan dan kemungkaran. Bulan inilah proses muhasabah diri muslimin dan muslimat berlaku bagi mengambil keberkatannya untuk diri diampunkan oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya naungan kasih-sayang Allah s.w.t. amat luas sehingga diperuntukkan untuk hamba-Nya satu bulan khas bagi menebus dosa-dosa yang telah lalu.
Saya mewakili barisan kepimpinan Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) mengucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh muslimin dan muslimat khususnya para pelajar Islam Sarawak walau di mana pun berada. Saya menyeru agar kita mengimani segala suruh-perintah Allah s.w.t. serta menuruti segala sabda hadith baginda Rasulullah s.a.w. supaya kita mudah-mudahan menjadi orang bertaqwa dan diampunkan dengan keberkatan Ramadhan yang mulia.
Saya menasihati diri yang faqir ini serta seluruh aktivis PERKEPIS dan muslimun agar memberikan penghormatan yang selayaknya kepada kehadiran Ramadhan al-Mubarak yang tibanya hanya setahun sekali dengan membawa segala macam rahsia keberkatan dan keampunan dalam naungan kasih sayang Allah s.w.t. Hidupkanlah diri dengan amal sebanyak-banyaknya di bulan yang dimuliakan ini dan hidupkanlah sekeliling kita dengan bi'ah sesuai dengan kemuliaan Ramadhan.
'Ala kulli hal, semoga kita tergolong dalam golongan yang Allah s.w.t. beri manfaat di dalam Ramadhan kali ini dan dipilih oleh-Nya untuk menemukan malam Lailatul Qadr yang dimuliakan. Selamat Berpuasa dan Selamat hanyut di dalam keasyikan ber'amal di bulan Ramadhan al-Mubarak yang dimuliakan ini.
al-Faqir ilAllah;
Khairul Anwar Shazali
Yang Di-Pertua,
PERKEPIS.
0 comments:
Post a Comment