728x90 AdSpace

  • Latest News

    Wednesday, January 06, 2010

    Laporan DLL: Pertembungan Pemikiran Islam di Malaysia



    Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, para sahabat baginda, para ulamak muktabar serta orang-orang yang menuruti jalannya sehinggalah Hari Kiamat. Syukur kepada Allah, diberikan kesempatan untuk menjadi salah seorang penonton rancangan ilmiah Di Luar Lingkungan (DLL) secara langsung di pentas studio di Angkasapuri RTM pada 28 Disember 2009 yang lepas. Saya telah menemani Pengerusi PERKEPISMA, Naib Yang DiPertua II PERKEPIS, sdr. Hishamudin bin Roslan. Ke udara pada pukul sepuluh malam, rancangan ini menyediakan santapan akal mengenai tajuk ‘Pertembungan Pemikiran Islam di Malaysia.’

    Rancangan DLL dipengerusikan oleh seorang pengacara yang tidak asing lagi, iaitu sdr. Syed Munawar. Panel yang terlibat dalam perbincangan ini ialah Ustaz Uthman el Muhammady, Felo Kanan Institut Pemikiran dan Kebudayaan Islam (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Prof. Madya Fakhruddin Mukhti, pensyarah Jabatan Usuluddin Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM).



    Perbincangan DLL bertitik tolak kepada suasana masyarakat yang meresahkan; iaitu kemunculan individu-individu secara meluas di dunia maya yang mengeluarkan autoriti masing-masing, terutama dalam bidang agama. Perbahasan yang tidak kunjung hentinya yang telah menimbulkan polemik pertentangan Kaum Tua dan Kaum Muda menjadi perhatian DLL kali ini. Masalah yang timbul adalah golongan awam yang tidak mempunyai asas agama yang kukuh juga terlibat dengan perbahasan yang tidak berpenghujung ini. Persoalan yang dibangkitkan, adakah polemik ini menguntungkan ataupun sebaliknya?

    Keunikan rancangan ini adalah, saluran-saluran teknologi dimanfaatkan sebaik-baiknya. Penonton boleh memberikan respon tidak terhad kepada hadirin dalam studio sahaja, tetapi juga pandangan boleh disampaikan melalui panggilan telefon, emel dan Facebook. Dalam entri kali ini, mengutarakan isi perbincangan dan persoalan-persoalan yang dibangkitkan sepanjang rancangan. Terdapat juga soalan-soalan; terutama soalan daripada penonton tidak terjawab secara khusus. Tetapi keseluruhan rancangan amat memuaskan kerana respon hangat daripada penonton dijawab dengan saksama. Saya merumuskan kembali isi perbahasan. Saya berharap pembaca dapat memahami seperti yang dimaksudkan oleh para panel. Jika ada kesilapan, maka itu adalah berpunca daripada kelemahan saya dalam menghadam persoalan.



    Soalan 1
    Soalan pertama diajukan ialah berkenaan dengan masalah pertembungan pemikiran, terutama komuniti Islam di negara ini. Dr. Fakhruddin menjawab persoalan.


    Beliau mengupas bahawa sudah beribu-ribu tahun sebenarnya sudah berlaku pertembungan pemikiran manusia. Perkara ini berlaku dalam keadaan tertentu. Dalam konteks masyarakat Islam pula, pemikiran membabitkan pegangan aliran akidah arus perdana yang merangkum konsep Tuhan, Nabi dan Rasul, akhlak dan nilai-nilai yang jelas.

    Tetapi golongan terkemudian datang dengan dakwaan membawa perubahan untuk merubah arus perdana tersebut sebagai sesuatu yang kolot, tidak sesuai dengan nilai-nilai yang sepatutnya. Melainkan, hal ini dibincangkan oleh orang yang ada autoriti (ulama muktabar) yang menegur dan membahas secara beradab, bukan sebaliknya. Antara masalah yang dihadapi ialah apabila perbahasan tidak diikuti dengan disiplin intelektual yang sudah baku (masak, stabil) dalam tradisi keilmuan Islam.



    Soalan 2
    Persoalan kedua dilanjutkan dengan isu yang selanjutnya, iaitu masalah sekarang ialah polemik label melabel dengan istilah Wahabi. Apakah ulasan panel berkenaan hal ini? Ustaz Muhammad el-Muhammady menghuraikan.


    Beliau mengulas bahawa polemik yang berlaku seharusnya dihadapi dengan berlapang dada. Umat dilarang untuk berbalah sehingga berlaku perpecahan. Bahkan, realiti yang berlaku ialah perpecahan kepada perpecahan yang sudah berlaku.

    Kita sangat bertuah didokongi oleh ulil amri (pemimpin) yang menjaga keharmonian pegangan arus perdana. Kerana melalui polemik yang berpanjangan yang bisa menimbulkan perpecahan tidak akan berpenghujung.



    Soalan 3
    Beliau disoal oleh pengacara, adakah ada sesuatu pembaharuan oleh arus tajdid adalah paling sesuai ketika pegangan masyarakat sudah mulai longgar, dan golongan ini mengatakan “Inilah masanya tajdid?”


    Ustaz Uthman menjawab bahawa rangkaian tajdid yang berlaku dalam sejarah adalah berdasarkan kemunculan tokoh-tokoh yang telah dimaklumkan dalam sabda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Bahawa Nabi sallallahu alaihi wasallam mengatakan bahawa akan muncul di kalangan umatnya yang akan membaharui (menghidupkan ruh, semangat baru umat).

    Ulas beliau lagi, bahawa mujaddid ini adalah di kalangan tokoh terkemuka dalam Islam seperti imam mazhab empat, iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad ibn Hanbal. Antara lain adalah Khalifah Umar bin Abdul Aziz, imam-imam lain seperti Imam Baqillani, Imam Abu Hassan Asya’ari (aliran akidah Asya’irah), Imam Ghazali dan sebagainya. Mereka inilah (tokoh mujaddid) yang telah menimbulkan kontribusi (sumbangan) yang tidak terhingga kepada umat Islam.

    Beliau menyambung komentar beliau yang agak menarik, kata beliau, “Kalau mereka, kita akui. Mereka memang telah berjasa. Tetapi masalahnya ('mujaddid selebriti' zaman sekarang) yang mengungkit hal-hal sekadar qunut, talkin, wirid, apakah ini harus diakui sebagai tajdid sebenar?”



    Soalan 4
    Kemudian, studio menerima panggilan telefon. Pemanggil tersebut menanyakan pandangan panel berkenaan dengan apakah ukuran kebenaran sesuatu dakwaan itu? Kerana masyarakat kini lebih mudah menerima sesuatu yang tampak, agresif dan popular.


    Dr. Fakhruddin menjawab bahawa masyarakat harus juga mengambil kayu ukur daripada mantiq (logik), tasawuf dan falsafah. Melalui jalan ini, seseorang akan dapat melihat apakah relevan idea yang dibentangkan di hadapan mereka. Misalan, jika ada pihak yang menyeru kepada memusuhi unsur sufi, maka tasawuf yang mengajarkan akhlak yang mulia juga akan dimusuhi. Ini bermakna, salah satu sumber yang mengajarkan akhlak mulia juga telah terhapus sekaligus. Adakah dengan memusuhi orang yang mengajarkan akhlak baik adalah jalan yang terbaik?



    Tidak pernah pun dalam sejarah, bahawa seseorang mengaku ia mujaddid. Bahkan, seseorang dianggap mujaddid berdasarkan pengiktirafan masyarakat sumbangannya. Oleh yang demikian, dalam menyaring sesuatu pembawaan dakwaan itu, masyarakat harus mempertimbangkan dengan saksama. Sebagai contoh, adakah dengan semata-mata talkin, membaca Yaasin (seperti yang mereka perjuangkan) akan membawa kemunduran? Masyarakat perlu mengkaji perkara ini dengan saksama. Bahkan amalan yang baik dalam masyarakat hari ini menyatukan mereka. Masyarakat dibawa berkumpul dan bergotong-royong dalam pertemuan mereka. Jika kita abaikan aspek yang baik ini, bukankah satu nilai yang telah terpupuk akan diketepikan juga?

    Soalan 5
    Persoalan seterusnya diajukan oleh seorang lagi pemanggil. Soalan tersebut meminta panel meberikan pendapat, adakah kemungkinan (polemik yang sedia ada) terdapatnya dokongan daripada luar?


    Ustaz Uthman menjawab bahawa kita harus melihat sesuatu tanpa terpengaruh dengan budaya selebriti (murahan). Sebaliknya, kita harus mencontohi budaya qudwatul hasanah (tauladan terbaik). Sebagai contoh kita ambil peribadi mulia daripada orang-orang yang siddiqin dan setara dengannya sepertimana termaktub dalam al-Quran, bukannya entiti selebriti yang memberi kesan sonsang kepada masyarakat.

    Beliau menasihatkan agar masyarakat berwaspada dengan menguatkan ajaran arus perdana (ajaran yang telah tersedia pakai dan telah digunakan untuk mendidik masyarakat sekian lama). Seandainya kita berbeda pandangan, maka beradablah, bukannya seperti budaya koboi (yang bertindak semberono).



    Soalan 6 & 7
    Kemudian, terdapat soalan dikemukakan oleh penonton studio. Soalan tersebut ialah:

    1.Adakah cukup sekadar umat Islam berpegang kepada nas (dalil) Quran dan Hadith yang sedia maksum sendangkan ulama ini terdedah kepada kelemahan pandangan manusiawi?

    2.Berkenaan dengan adab ikhtilaf (adab berbeza pendapat), adakah golongan awam perlu terlibat dalam perbahasan sebegini ataupun di kalangan cendiakawan. Ini kerana menurut masyarakat, kita tidak tahu banyak perkara. Persoalannya, adakah perlu semua orang mengemukakan pandangan?


    Dr. Fakhruddin menjawab bahawa merupakan satu kenyataan indah untuk kita umat ini kembali kepada Quran dan Hadith. Namun demikian, kedua-dua sumber tersebut dalam Bahasa Arab yang mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu seperti isti’azah, majaz dan lain-lain. Bagi orang Arab sekalipun, tidak semua mereka faham Bahasa Arab. Inikan pula kita. Ulama-ulama terdahulu misalan telah berhempas-pulas untuk mengistinbat (mengeluarkan) hukum untuk memudahkan pemahaman dan pengamalan masyarakat, salah satu kaedahnya ialah menggunakan aspek bahasa.

    Malah terdapat masalah orang yang mempertikaikan berpegang dengan sesuatu mazhab ataupun memperlekehkan Imam Syafie. Seandainya beliau ditakdirkan tidak wujud dalam sejarah, maka kita sebagai orang awam setiap orang perlu bersusah-payah mencari hukum dengan mengambil kembali kepada Quran dan Hadith. Bukankah itu satu yang memenatkan, semua orang mencari hukum sendiri berdasarkan ilmu (cetek) yang ada? Belum tentu kefahaman mereka sama seperti orang-orang yang alim dan berautoriti di kalangan mereka untuk tujuan penetapan hukum ini.



    Ya, memang benar terdapat kata-kata Imam Syafie yang mengatakan bahawa ‘Jika terdapat pendapat yang lebih kuat daripadaku, maka tinggalkanlah mazhabku.’ Ini adalah sebagai kenyataan tawaduk Imam Syafie sebagai seorang ulama yang mendapat didikan daripada ulama juga. Maksud beliau adalah jika pandangannya yang telah disaring, disemak dengan teliti itu juga terdapat pandangan yang lebih kuat, maka beliau menasihati untuk menggunakan pandangan yang lebih kuat daripadanya. Itu menunjukkan tawaduk beliau dalam menghormati pendapat para alim ulama yang lain.


    Soalan 8

    Dilontarkan lagi persoalan lain, iaitu adakah keterikatan kepada mazhab akan menjadikan seseorang ataupun masyarakat ini menjadi rigid (kaku)?


    Ustaz Uthman menjawab bahawa mengikut mazhab ataupun erti kata taklid kepada mazhab bukanlah dimaksudkan dengan menurut buta (taklid buta) semata-mata. Beliau memetik seorang ulama Amerika, Syeikh Nuh Haa Mim Keller yang mengatakan bahawa bertaklid kepada mazhab adalah dengan makna ‘Following qualified scholarship’ ataupun mengikut kesarjanaan yang muktabar. Maksudnya ialah mengikut sesuatu aliran pemgangan secara berilmu dengan berpandukan ilmu. Beliau mengaitkan dengan ayat Quran ‘bertanyakan kepada ahlinya.’ Bertaklid dengan cara ini adalah sebagai jalan rahmat bagi orang yang mengikut nur mujthahid dengan cahaya keilmuan yang ada pada mereka. Mereka para mujtahid telah mencerahkan jalan untuk kita memahami agama Allah ini. Maka dengan itu timbullah ijmak para ulama untuk memutuskan sesuatu perkara yang terbaik untuk umat berpandukan ilmu mereka.




    Kesimpulan


    Masyarakat kini menjadi keliru kerana hakikatnya perkara yang sudah diselesaikan seolah-olah menjadi perkara baru. Ustaz Uthman berkali-kali menegaskan bahawa pentingnya ada pemerintah yang memelihara pegangan arus perdana yang didukung oleh ulama-ulama yang muktabar.

    Sebagai misalan, amalan-amalan masyarakat telah disaring dan sudah dirujuk kepada ulama-ulama di Mesir pada tahun 1950-an dahulu. Masalah yang timbul ialah, perkara-perkara yang sudah diputuskan dan diamal sekian lama telah dibongkar kembali dengan alasan mahu membuat pembaharuan. Akhirnya, berlaku pertengkaran yang tidak berpenghujung dengan bid’ah-membid’ah, bahkan kafir-mengkafir. Tambahan lagi, Nabi Muhammad sallallahu alahi wasallam juga pernah bersabda bahawa umatnya tidak akan berhimpun dalam kesesatan. Maka adakah semudah itu mereka menghukumkan sedemikian terhadap majoriti umat?

    Berkenaan masalah perpecahan umat, harus ada pendirian yang mantap. Dek kerana hal remeh-temeh ini (pertelingkahan mengenai bid’ahnya doa qunut, wirid berjemaah, talkin, tahlil, membaca Yaasiin malam Jumaat, solat tarawih 8 atau 20 rakaat dan lain-lain) merupakan persoalan-persoalan yang sudah baku (dibincangkan, diselesaikan secara tuntas oleh para ulama terdahulu). Kita tidak sedar bahawa kita telah rugi masa dan tenaga serta menguntungkan musuh Islam. Setelah berkurun-kurun lamanya masyarakat telah berpegang dengan mazhab. Terbukti, bahawa kesatuan mazhab ini menyatukan masyarakat. Tetapi mereka pula sibuk untuk mempertikaikan.

    Kesimpulannya ialah, kita kembali kepada ajaran arus perdana yang dipandang oleh umat terbesar. Ini kerana kita mempunyai teks yang boleh dirujuk (berpandukan mazhab). Seandainya kita beradab dalam berbeza pendapat, maka tidak akan timbul soal mengkafirkan orang lain. Segala perkara akan selesai apabila adanya asas ilmu dan menjaga adab hubungan sesama manusia.


    Berjasa Kepada Masyarakat

    Melaporkan
    Azrul bin Jaini
    Ahli Biasa PERKEPIS
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Item Reviewed: Laporan DLL: Pertembungan Pemikiran Islam di Malaysia Rating: 5 Reviewed By: Azrul bin Jaini
    Scroll to Top