Segala puji bagi Allah dan selawat dan salam atas baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Alhamdulillah, satu program untuk mengumpulkan anak-anak Sarawak di Kuala Lumpur telah berlangsung pada 7 Ogos 2009 yang lepas bertempat di Rumah Yayasan Sarawak, Kuala Lumpur. Program ini dianjurkan oleh Yayasan Sarawak bersama anak-anak Sarawak.
Kira-kira lebih daripada 50 orang telah hadir, merangkumi mahasiswa mahasiswi dari pelbagai universiti. Juga hadir dalam program ini ialah individu yang telah bekerja. Namun, rata-rata yang hadir adalah daripada mahasiswa mahasiswi dari kampus UKM, UniKL, UIA, UTeM (Universiti Teknikal Malaysia), UMP (Universiti Malaysia Pahang), UiTM Shah Alam dan berbagai lagi. Seramai 15 orang daripada delegasi PERKEPIS telah hadir dalam program ini.
Program ini membawa makna yang besar khususnya kepada hadirin kerana sudi didatangi oleh Timbalan Menteri Pelajaran Tinggi, Yang Berhormat Dato' Saifuddin bin Abdullah dan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, Yang Berhormat Tuan Haji Fadillah Haji Yusof. Para hadirin bukan sahaja dapat berdialog langsung mengenai permasalahan mereka, tetapi juga berpeluang untuk merapatkan hubungan melalui majlis makan malam sejurus setelah dialog.
Antara isu yang dikemukakan oleh para hadirin ialah mengenai persoalan survival dan peluang setelah menjadi graduan dan keusahawanan. Persoalan kebajikan pula diambil perhatian dalam dialog ini. PERKEPIS telah menyuarakan pandangan bahawa peri pentingnya dibenarkan untuk diwujudkan persatuan anak Sarawak secara berdaftar di setiap kampus. Tujuannya adalah untuk kebajikan mahasiswa di perantauan dan menjadi platform yang sesuai untuk berbakti kepada masyarakat. Ini kerana mahasiswa Sarawak yang menuntut di Semenanjung Malaysia sudah ramai dan mereka berhak suara kebajikan mereka didengari
Pertemuan ini merupakan pertemuan yang berharga sekali. Inilah saatnya para mahasiswa tidak kira latarbelakang kaum dan agama berkumpul untuk berkenal-kenalan antara satu sama lain. Di sinilah peluang untuk menyebarluaskan ruang lingkup perkenalan yang pasti akan berguna pada suatu hari kelak. Diharapkan, program sebegini dapat dimantapkan dan lahir usaha-usaha murni untuk menyebarkan kesedaran akan tanggungjawab yang dipikul oleh mahasiswa Sarawak, berbakti kepada masyarakat khususnya.
PERKEPIS mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak penganjur dan salam perkenalan buat sahabat-sahabat. Semoga perkenalan dan persaudaraan kita kekal dan membuahkan manfaat bersama.
Berjasa Kepada Masyarakat
2 comments:
nang jeles kmk aie...xtauk pun pasal prog tok...hmm :'(
-_-" Kamek nasehatkan, tanyak2 pada sahabat2. Besanya ada program ujong minggu... bergantonglah
Azrul
-Moderator-
Post a Comment