728x90 AdSpace

  • Latest News

    Wednesday, March 10, 2010

    Kerana Rahmat Tuhanku!



    Telah diriwayatkan oleh ulama, bahawa seseorang telah bermimpi bertemu dengan Sayyidina Umar al-Khattab. Orang tersebut telah berkata kepada Umar, Si Pembeda antara yang benar dan batil:

    “Wahai Umar! Aku melihat engkau bahagia di alam baqa’! Apakah rahsiamu?”

    Orang itu bertanya lagi, “Adakah kerana keadilanmu, wahai Umar?”

    “Adakah kerana keadilanmu yang sehinggakan bumi Madinah yang sedang gempa bungkam sepi kerana hentakanmu? Yang apabila engkau menghentaknya dengan tongkatmu lalu berkata,

    ‘Wahai bumi, tidak cukupkah keadilanku di atasmu’ lalu ia diam?”



    “Adakah kerana keadilanmu, sehinggakan api terpadam dengan sendirinya marak meranap kota Madinah dek terkena selendangmu?” [1]

    “Adakah kerana itu, wahai Umar?”

    Menjawab pertanyaan itu, Umar pun menjawab, “Tidak, wahai saudara. Bukanlah aku bahagia kini dengan keadilanku.”

    “Katakanlah, wahai Umar.”

    “Aku beritahu kepadamu. Pada suatu hari, aku sedang berjalan di kota Madinah. Aku terlihat sekumpulan kanak-kanak sedang bermain-main dengan seekor anak burung. Hatiku terasa sangat kasihan melihat burung itu terseksa. Hendak disuruh dilepaskan, anak burung itu milik mereka.”



    Umar al-Farouq menyambung lagi, “Oleh itu, aku membeli lalu melepaskannya. Oleh sebab dengan rahmat Tuhanku, aku kini hidup bahagia di alam baqa’.”

    Semoga Allah merahmatinya!



    Dikisahkan bahawa seseorang telah bermimpi berjumpa dengan Imam al-Ghazali. Ia mendapati bahawa Imam Ghazali sedang berbahagia di alam baqa’. Ia pun bertanya kepadanya:

    “Wahai Imam al-Ghazali, apakah yang menjadikan engkau berada di kalangan orang yang beruntung?”

    “Adakah kerana ketinggian ilmu dan amalmu, wahai Imam? Adakah kerana banyaknya kitab yang engkau karang?”

    Maka pertanyaan itu dijawab oleh Imam al-Ghazali, “Tidak,wahai saudara. Bahkan, bukan kerana ketinggian ilmu yang dianugerahkan kepadaku. Ataupun amal yang aku sempat lakukan.”

    “Bolehkah engkau memberitahu rahsiamu?”

    “Pada suatu malam aku sedang menulis kitabku. Ketika aku mahu mencelupkan pena ke dalam balang dakwat, aku dapati ada seekor lalat sedang hinggap padanya.”



    “Aku mendapati bahawa lalat itu sedang meminum dakwatku. Maka aku membiarkan sehingga kenyang meminumnya. Setelah ia beredar, barulah aku mencelup penaku untuk menulis kembali karangan kitabku.”

    “Maka dengan sebab itu, dengan rahmat Tuhanku, Yang Maha Pemurah memberikan aku nikmat hidup bahagia di alam baqa’ ini.”

    Semoga Allah merahmatimu, wahai Hujjatul Islam!


    Kesimpulannya, jangan pandang enteng sekecil-kecil amalan!


    Berjasa Kepada Masyarakat


    Rujukan:
    1.Syeikh Muhammad Mukhtar ibnu ‘Atorid, (2008). I’itqad ahli sunnah wal jama’ah. Sofa Production: Ampang.

    NOTA: Kedua-dua cerita dikisahkan oleh Tuan Guru Syeikh Fuad bin Kamaludin al-Maliki dalam salah satu syarahan beliau.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Item Reviewed: Kerana Rahmat Tuhanku! Rating: 5 Reviewed By: Azrul bin Jaini
    Scroll to Top