Kekalutan di Gaza mengalihkan tumpuan dan tenaga kita untuk terus mengikuti perkembangan yang berlaku di seberang sana. Pada masa yang sama, tiba-tiba muncul pula musibah di tempat tanah air sendiri. Air telah naik di beberapa tempat di Kuching ekoran hujan lebat dan tepat pula berlaku fenomena air pasang pada pertengahan bulan Muharram.
Air pasang setinggi 6.1 meter setakat semalam (10 Januari 2009). Dijangka pada malam ini (11 Januari 2009), air pasang meningkat kepada 6.2 meter dan diramalkan akan kekal pada paras itu sehingga hari Rabu nanti.
Air bah ini tidak lain tidak bukan adalah untuk menguji hamba-hamba-Nya. Dalam sekelip mata, air yang kita lihat ‘lembut’ berbanding batu yang keras, datang melanda dan mengakibatkan kerosakan harta benda kita. Dalam sekelip mata, kita mampu hilang perkara yang berharga yang selama ini kita sering abaikan.
Mungkin inilah ujian daripada Tuhan untuk memanggil hamba-hamba-Nya. Marilah kembali kepada Tuhan. Marilah kembali kepada Allah yang Esa. Dialah yang menjadikan keadaan sedemikian. Dan Dialah yang akan membaik pulih kepada keadaan asal. Insafilah, kita ini lemah tidak berdaya, melainkan mendapat pertolongan daripada-Nya.
Ambillah pengajaran daripada kisah Nabi Nuh dan kaumnya, yang ditimpa musibah banjir. Setelah beratus-ratus tahun tanpa jemu menyeru kaumnya siang dan malam, akhirnya banjir dihantar sebagai azab kepada orang-orang yang tidak beriman. Mereka masih enggan beriman, walaupun sedang nyawa-nyawa ikan. Hatta, anak Nabi Nuh menjadi korban keangkuhan diri sendiri.
Begitulah kita. Mungkin selama ini kita lalai daripada bersyukur kepada-Nya. Bersabarlah dan fikirkanlah. Mungkin ini saatnya untuk kita muhasabah dan ubah.
Kita doakan semoga keadaan bertambah baik di tempat-tempat yang teruji. Hanya kepada-Nya kita kembali.
Berjasa Kepada Masyarakat
0 comments:
Post a Comment